Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesakit pulih makin tambah, kes baru masih tiga angka

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sepanjang minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, bilangan pesakit Covid-19 yang pulih turut meningkat di sebalik bilangan kes baharu Covid-19 yang mencatat kenaikan tiga angka.

Berdasarkan angka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga pukul 12 tengahari Khamis 2 April, sebanyak 208 kes baharu direkod, menjadikan jumlah pesakit di seluruh negara seramai 3,116.

Statistik KKM menunjukkan angka pesakit yang pulih semakin meningkat sejak seminggu lepas dan terbaharu iaitu semalam 2 April, seramai 122 orang didiscaj, menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang pulih, 767 orang.

Peningkatan jumlah pesakit yang pulih dikesan bermula 27 Mac iaitu 44 kes, 28 Mac, 61 kes, 29 Mac, 68 kes dan 30 Mac, 91 kes.

Jumlah pesakit yang pulih menurun sedikit pada 31 Mac iaitu 58 kes kemudian meningkat semula kepada 108 orang pada 1 April.

Angka kematian setakat rangkuman dibuat, bertambah lima orang lagi, menjadikan jumlah kematian pesakit Covid-19 di Malaysia kepada 50 orang. Dua kematian pertama akibat Covid-19 dicatat pada Selasa 17 Mac

Bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi ialah 105 orang yang mana 54 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes tiga angka

Malaysia mula mencatat kes baharu tiga angka Covid-19 sejak 15 Mac (190 kes). Negara terus mencatat kenaikan kes baharu tiga angka berikutnya:-

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kes Covid-19 di Malaysia mencapai kemuncaknya pada pertengahan April.

Ini berdasarkan perkembangan jangkitan wabak di negara ini.

Terdapat juga tanda-tanda lekuk penularan akan merata. Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Misi WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Ying-Ru Lo kepada agensi berita Reuters yang disiarkan akhbar tempatan pada 2 April.

Tempoh krtikal

KKM sebelum itu sudah pun memberi peringatan bahawa PKP yang memasuki fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April dianggap tempoh kritikal untuk menentukan sama ada Malaysia berjaya atau tidak memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Dua minggu yang seterusnya adalah mustahak di mana akan menentukan sama ada tindakan yang diambil kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan.

Perkara ini ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar pada 1 April.

Beliau turut mengulangi peringatan Kementerian Kesihatan untuk orang ramai agar duduk di rumah serta mengamalkan etika kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan menjarakkan diri antara satu sama lain.

Di samping menyambung tempoh PKP yang berakhir pada 31 Mac selama dua minggu lagi sehingga 14 April, beberapa peraturan ketat turut dilaksanakan untuk mengekang wabak penyakit Covid-19 daripada merebak.

Antaranya, semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja, iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan, aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian.

Kelonggaran bagaimanapun diberikan kepada golongan autisme, OKU untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar, dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat kenyataan itu berkata sekatan di 23 plaza tol sebelum ini akan ditingkatkan kepada 65 dan ditambah kepada 114 plaza tol di seluruh negara pada 1 April.

Bagi mengawal penularan wabak Covid-19, bermula 3 April, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas mahupun komersial akan terus dibawa ke pusat kuarantin yang dikhaskan untuk selama 14 hari.

Tindakan itu diambil berikutan laporan negara lain berhubung pertambahan bilangan kes positif Covid-19 akibat kepulangan rakyat negara terbabit dari luar negara.

PKPD dan zon merah

Kerajaan juga mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dua kawasan pertama dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor dan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Sebuah kondominium, Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur turut dikenakan perintah PKPD bermula 31 Mac hingga 13 April.

PKPD dilaksanakan berikutan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan 17 kes positif Covid-19 di kondominium yang mempunyai 3,200 penghuni dan premis perniagaan.

Sementara itu, sehingga 29 Mac lepas, KKM menyenaraikan 14 lokasi di seluruh negara sebagai Zon Merah Covid-19.

Kawasan-kawasan itu ialah Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Kluang, Johor Bahru, Kuching, Kota Bharu, Kinta, Gombak, Tawau, Hilir Perak, Titiwangsa dan Klang

Situasi global

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan wabak penyakit Covid-19 sebagai “Ujian paling hebat sejak meletusnyua Perang Dunia Kedua.”

Setiausaha Agungnya, António Guterres ketika melancarkan Laporan PBB mengenai potensi impak sosioekonomi wabak itu di ibu pejabat PBB di New York pada 1 April, memberi amaran ia boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku seperti sebelum ini.

Menurut beliau, penyakit coronavirus yang baharu itu menjejaskan kehidupan masyarakat, meragut nyawa serta menyebabkan ramai orang hilang mata pencarian.

“Covid-19 adalah ujian paling hebat yang kami hadapi sejak pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, “ katanya sambil menambah, sehingga 25 juta orang mungkin kehilangan pekerjaan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media secara langsung dari Geneva, Switzerland pada 1 April, melahirkan rasa bimbang tentang penularan begitu cepat wabak Covid-19 ke seluruh dunia, sejak ia mula dikesan sekitar empat bulan lepas.

Beliau turut menjangkakan angka kes penyakit itu akan mencapai sejuta dalam tempoh beberapa hari ini dengan angka kematian melebihi 50 ribu.

WHO, kata beliau sedang bekerja erat dengan penyelidik di seluruh dunia untuk mencari rawatan paling berkesan untuk pesakit Covid-19.

Setakat ini, kata beliau, sebanyak 74 buah negara menyatakan persetujuan untuk kerjasama itu.

Negara teratas

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 1,015,728 dan angka kematian, 53,202.

Amerika Syarikat masih berada di tempat teratas negara yang mempunyai paling banyak kes Covid-19, mendahului Itali, Sepanyol dan China.

Sejak penyakit ini dikesan di Amerika Syarikat pada 20 Jan, ia sudah merebak ke semua 50 buah negeri. Setakat rangkuman ini dibuat, terdapat sebanyak 245,088 kes Covid-19 di Amerika Syarikat dengan 6,075 kematian.

Kongres Amerika awal Mac membuat unjuran antara 70 hingga 150 juta orang di Amerika Syarikat boleh dijangkiti penyakit tersebut.

Itali: Angka terkini jumlah kes Covid-19 di negara itu ialah 115,242 sementara angka kematian 13,915. Dilaporkan, lebih 85 peratus yang meninggal dunia di Itali akibat penyakit ini berusia lebih 70 tahun.

Sepanyol: Kes Covid-19 sudah mencecah 112,065 dengan 10,348 kematian. Hampir seluruh Sepanyol diletakkan di bawah perintah berkurung sejak 14 Mac.

China: Negara di mana bermulanya penularan penyakit Covid-19 merekodkan sebanyak 81,620 kes dengan 3,322 kematian setakat ini.

Negara lain yang mencatat jumlah kes Covid-19 yang besar termasuk:-

Jerman 84,794 (1,107 kematian), Perancis 59,105 (5,387 kematian), Iran 50,468 (3,160 kematian), United Kingdom 33,718 (2,921 ), Switzerland 18,827 (536 kematian), Turki 18,135 (356 kematian), Belgium 15,348 (1,011 kematian) , Belanda 14,697 (1,339), Kanada 11,283 (173 kematian), Austria 11,129 (158 kematian), Korea Selatan 10,062 (174 kematian), Portugal 9,034 (209 kematian), Brazil 8,066 (327 kematian), Israel 6,857 (36 kematian), Sweden 5,568 (308 kematian), Australia 5,314 (26 kematian) dan Norway 5,192 (50 kematian).

RUANGAN SISI

Latar belakang

• Penularan wabak Covid-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

• Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

• Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

• WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu Covid-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

• Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

• Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

• Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit Covid-19 sebagai pandemik.

- Bernama