Skip to main
Logo Malaysiakini

Fitnah topeng muka China tercemar: MP KK gesa tindakan tegas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin meminta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah yang mendakwa kelengkapan Covid-19 yang diterima dari China adalah tercemar.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana ia boleh “memudaratkan” usaha kedua-dua negara bagi menyelamatkan rakyat dari ancaman Covid-19.

“Lebih-lebih lagi, berita palsu ini juga mengatakan bahawa kerajaan China adalah kerajaan jahat, ‘kapiaq’ (kafir) dan bersekongkol dengan DAP.

“[...] Di sini, saya ingin mengutuk dengan sekeras-kerasnya pihak-pihak yang menggunakan media sosial untuk memulakan dan menyebarkan berita palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Chan merujuk satu hantaran Facebook yang turut dikepil bersama kenyataannya, mendakwa topeng muka yang dan sarung tangan yang diderma dari China adalah tercemar.

Hantaran berkenaan turut meningatkan orang awam supaya berhati-hati dalam membeli penutup hidung dan mulut serta sarung tangan dari China.

"Jahat betul puak puak kapiaq DAP yang bersekongkol dengan kapiaq dari negara China," kata hantaran itu.

‘Jejas hubungan diplomatik’

Tambah Chan yang juga setiausaha DAP Sabah itu, fitnah itu bukan saja berbaur perkauman itu, tetapi turut boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan negara China, sedangkan bantuan itu bukan saja diterima oleh negeri Sabah, tetapi juga oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, Sabah menerima 166,000 topeng muka yang diderma oleh kerajaan China pada 29 Mac lalu, diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Shafie Apdal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2.

“Topeng-topeng muka ini telah dihantar dari Guangzhou, China ke Kota Kinabalu menggunakan penerbangan sewa khas AirAsia,” katanya.

 Manakala kerajaan persekutuan juga, kata Chan, turut menerima bantuan peralatan perlindungan dari China dan diterima sendiri oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Oleh hal yang demikian, Chan menggesa pihak polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menahan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.