Skip to main
Logo Malaysiakini

UPM bangunkan 5 robot bantu proses nyahkuman

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sekumpulan pakar robotik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan lima buah robot untuk membantu petugas barisan hadapan menjalankan proses nyahkuman Covid-19 yang dijangka siap pada minggu hadapan.

Ketua projek itu Prof Madya Dr Wan Zuha Wan Hasan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan berkata bagi fasa pertama, robot berkenaan akan digunakan di kawasan kampus UPM seperti bilik dan dewan kuliah, kolej penginapan, Hospital Pengajaran UPM dan kawasan berisiko yang menjadi tumpuan.

Bagi fasa kedua pula, UPM boleh menawarkan perkhidmatan nyahkuman, menghidang makanan dan pengimejan haba kepada hospital awam berdekatan sekiranya terdapat permintaan dan dana daripada pihak luar yang berminat, katanya.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19, robot itu amat diperlukan untuk kegunaan pelbagai unit pasukan tindakan kecemasan bagi mengelak jangkitan kepada petugas barisan hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Wan Zuha kumpulan pakar robotik berkenaan ketika ini menghadapi kekangan kewangan untuk membangunkan projek robot berkenaan.

"Sekiranya ada pihak luar yang berminat untuk bantu kami menaik taraf projek penyelidikan robot ini ke peringkat yang komprehensif, amat dialu-alukan," katanya.

Wan Zuha berkata projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Innovatech Solution Enterprise yang merupakan sebuah syarikat milik alumni UPM.

-Bernama