KPT: Pelajar luar negara ingin pulang tanggungjawab sendiri, keluarga
Penuntut Malaysia dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian mereka sekarang, namun sekiranya masih ingin pulang ke tanah air, urusan tersebut adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab pelajar sendiri atau keluarga masing-masing, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Dalam perkara itu, KPT berkata mereka yang ingin pulang ke Malaysia harus memaklumkan kepada wakil-wakil Education Malaysia dan kedutaan di negara pengajian mereka.
KPT berkata semua pelajar yang tiba di tanah air tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), seperti menjalani saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara serta menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.
Menurut KPT buat masa ini, pelajar dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian mereka, serta sentiasa menurut arahan daripada pihak universiti dan pihak berkuasa tempatan di negara berkenaan, selain mengikuti perkembangan terkini yang sahih.
"Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta isu-isu logistik yang berkaitan secara mendalam,” katanya.
KPT berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menasihatkan pelajar tajaan mereka untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing jika negara berkenaan tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang.
Semua pelajar tajaan persendirian di luar negara turut dikehendaki untuk terus kekal berada di negara pengajian mereka, katanya.
"Sila berhubung dengan wakil-wakil Education Malaysia dan Wisma Putra di negara pengajian masing-masing jika ada sebarang masalah atau penjelasan yang diperlukan," kata KPT.
Bagi pelajar yang berada dalam kategori rakyat Malaysia yang terkandas, KPT berkata Wisma Putra dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Nadma, KKM, MKN, Kementerian Kewangan Malaysia dan semua Perwakilan Malaysia di luar negara akan menjalankan usaha membawa pulang mereka ke Malaysia.
Menurut KPT, rakyat Malaysia yang terkandas merujuk kepada mereka yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan.
Selain itu, mereka juga tidak mempunyai alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai