Skip to main
Logo Malaysiakini

KP Kesihatan: Hampir separuh kes Covid-19 Selangor di Hulu Langat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hampir separuh daripada kes positif Covid-19 di Selangor adalah di daerah Hulu Langat, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jika kita lihat di Hulu Langat, jumlah positif kes adalah 300.

"Secara keseluruhan di Selangor ada lebih daripada 600 kes, jadi separuh daripadanya dari Hulu Langat," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung mengapa Selangor merekodkan jumlah tertinggi kes Covid-19.

Berdasarkan kenyataan media KKM yang diedarkan kepada pemberita kemudian, negeri itu merekodkan 863 kes dengan 63 kes baru, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Sejak 30 Mac lalu, tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKPD) selepas didapati peningkatan kes Covid-19.

Dengan perintah itu, tiada siapa dibenarkan keluar atau masuk ke kawasan tersebut dan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian kesihatan dari rumah ke rumah.

Hulu Langat serta empat lagi daerah di Selangor, iaitu Petaling, Klang dan Gombak, telah dikategorikan sebagai zon merah.

Menurut Noor Hisham lagi, bilangan kes di daerah itu meningkat berbanding semalam dengan 287 kes.

"Dan 25 daripanya mempunyai kaitan dengan himpunan Sri Petaling, manakala bakinya adalah kes kontak rapat dan lain-lain," katanya.

Dalam sidang media semalam, beliau berkata KKM mengesyaki rantaian jangkitan di daerah itu mempunyai kaitan dengan kluster tersebut, yang merupakan kluster terbesar penularan Covid-19 di Malaysia setakat ini.

Berhubung sama ada KKM telah menjalani pemeriksaan kepada baki 3,400 peserta himpunan tabligh yang belum berbuat demikian, Noor Hisham berkata ada kemungkinan mereka tiada di Malaysia.

"Mungkin mereka di luar negara. Kita akan terus memantau, dan berharap mereka akan pulang dan akan dikuarantin selama 14 hari," katanya lagi.

Sementara itu, Noor Hisham menggesa komuniti kejiranan untuk memainkan peranan dalam membendung penularan Covid-19.

"Misalnya, jawatankuasa kondominium boleh melaksanakan saringa kepada mereka yang masuk ke kondominium.

"Pengawal keselamatan boleh ditugaskan untuk melakukannya," katanya lagi.

Sebagai contoh, beliau berkata komuniti rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta di perkampungan Orang Asli telah melaksanakan larangan masuk terhadap orang luar bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, Malaysia merekodkan 3,333 kes positif Covid-19 dengan 53 kematian.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.