Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar: Lindungi pekerjaan agar golongan miskin dapat sara hidup

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Beberapa pakar akademik menggesa kerajaan supaya memastikan kumpulan mudah terjejas mempunyai akses kepada makanan, dari segi ekonomi dan fizikal.

Mereka menyeru agar langkah-langkah berkesan diambil agar pekerja dapat terus bekerja dan mampu menyara kehidupan.

Menurut pakar penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian Dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Tey Yeong Seng, golongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) – khususnya majikan - mengeluh bahawa bahawa pakej rangsangan ekonomi kerajaan tidak sepenuhnya mengatasi keperluan mereka.

“Rakyat membuat aduan (dan bertanya) bagaimana ini (pakej rangsangan ekonomi) boleh membantu syarikat PKS.

“Tanpa perniagaan yang stabil, sukar untuk terus memastikan pekerja dapat melindungi pekerjaannya,” katanya menerusi satu program dalam talian anjuran Ideas pagi tadi.

Pakar ekonomi sebelum ini turut menjelaskan bahawa kemerosotan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19 dan langkah perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menyebabkan hampir 2.4 juta rakyat hilang pekerjaan, dengan 1.6 juta daripadanya merupakan pekerjaan tanpa kemahiran – upah rendah.

Meskipun dilaporkan bekalan makanan terkawal, Penasihat Organisasi Pertanian dan Makanan PBB David Dowe menyatakan bahawa pekerja akan tetap mengalami kesukaran membeli keperluan asas sekiranya pekerjaan mereka terjejas.

“Sangat penting untuk rakyat mempunyai akses ekonomi terhadap makanan, dan kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang awam yang telah kehilangan pekerjaan.

“Saya rasa ini merupakan masalah jaminan makanan terbesar ketika ini,” katanya pada program yang membincangkan jaminan makanan dalam menghadapi krisis Covid-19.

Pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan bulan ini turut memperkenalkan program subsidi upah bagi syarikat yang kehilangan lebih separuh daripada pendapatan mereka sejak 1 Jan lalu.

Di bawah program itu, sesebuah syarikat diberi subsidi sebanyak RM600 kepada seorang pekerja bagi tempoh tiga bulan, dengan syarat agar majikan tidak membuang pekerja.

Ia hanya tertakluk kepada pekerja yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah.

Pakej tersebut juga meliputi potongan cukai dan pinjaman kepada PKS.

Bagaimanapun, golongan PKS sebelum ini meminta lebih peruntukan dengan pembayaran subsidi upah dan sewaan dipertingkatkan bagi menampung syarikat bagi tempoh yang lebih lama.

[Baca berita penuh]