Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir di Sungai Raya - Pemaju, agensi, rakyat diharap main peranan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tidak sampai sejam hujan lebat pada petang 31 Mac lalu, namun air Sungai Raya melimpah ke rumah-rumah di Kampung Sungai Raya, menyebabkan ada kawasan yang banjir sehingga ke paras paha.

Pada hari kejadian, ada jambatan tenggelam oleh air sungai, malah ada kenderaan penduduk tak sempat dialihkan, turut ditenggelami banjir yang melimpahi kawasan perumahan sekitar sungai.

Banjir pada hari Selasa itu dianggap penduduk kampung antara yang terburuk pernah terjadi, namun menurut Ketua Kampung Sungai Raya, Norlisman Abu, 67, kejadian banjir bukanlah asing bagi penduduk kampung yang terletak di daerah Cheras itu.

Katanya, setiap kali hujan lebat, rumah-rumah di tepi sungai selalunya akan dinaiki air, tetapi tidaklah setinggi seperti Selasa lalu yang menjejaskan sehingga 40 buah rumah.

Ketika tinjauan Malaysiakini semalam di kawasan perumahan berdekatan sungai, ada penduduk masih belum selesai menjemur perabot dan membersihkan rumah, meskipun setelah masuk hari ketiga banjir terjadi.

Bagi penjawat awam, Afifriwarman Zaimal, 31, yang tinggal dekat dengan sungai, hampir keseluruhan perabot rumahnya rosak akibat banjir kecuali yang diletakkan di tempat tinggi.

“(Nasib baik) Kereta saya sempat alih. Kereta orang (di kawasan) belakang (ditenggalami air), saya sempat. Air cepat sangat naik, memang (mereka) tak sempat nak alih kereta,” katanya ketika ditemui.

Meskipun mesin basuh serta dua peti sejuknya rosak, dia masih bersyukur kerana ibunya yang terlantar sakit menggunakan katil yang agak tinggi, namun mengakui katil itu pun nyaris ditenggelami air ketika kejadian tersebut.

Menurut Afifriwarman, meskipun banjir memang beberapa kali terjadi di kampung itu, sebelum ini air sungai naik hanya ke kawasan luar rumah sahaja, setakat paras buku lali.

Namun, katanya sejak ada projek pembangunan tidak jauh dari kawasan kampung itu sejak beberapa tahun lalu, kejadian banjir semakin kerap berlaku, sehingga yang terburuk, pada Selasa lalu.

Pandangan senada turut dikongsikan Norlisman. Katanya, Sungai Raya sememangnya menjadi sungai utama yang menerima air dari kawasan lain, termasuklah dari projek- projek pembangunan dan projek pembinaan lebuh raya di sekitarnya.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membuang objek-objek tidak sepatutnya ke dalam sungai ketika hujan lebat.

Hal itu mengakibatkan ada jambatan tersekat oleh objek besar seperti tilam, kayu, katil, malah almari, lalu memburukkan lagi banjir di kawasan kampung itu kerana aliran air sungai yang terganggu.

“Harapan saya pada pihak berkuasa, saya minta kalau boleh perhati-perhatikanlah apa punca sebenar (banjir), mungkin daripada projek-projek pembangunan yang tidak terancang atau cuba tengok air di lebuh raya, ke mana mengalirnya air tersebut?

“Saya tak mahu harapan hanya tinggal harapan. Kalau boleh buatlah sesuatu yang terbaik untuk keselesaan anak-anak buah saya di Kampung Sungai Raya,” katanya.

Norlisman turut menunjukkan video yang dirakam pada hari kejadian yang menunjukkan air melimpah-limpah masuk dalam isipadu yang banyak ke dalam sungai, dari kawasan projek pembangunan yang hanya terletak kira-kira 2km dari kampung tersebut.

Kata Norlisman, setakat ini, pihaknya telah membuat aduan kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) daerah Hulu Langat; Adun Dusun Tua, Edry Faizal Yusof; Anggota Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus; serta membuat laporan polis.

Kelmarin, Edry menyerahkan bantuan bekalan makanan asas seperti beras, minyak dan gula kepada penduduk yang terjejas, manakala Hasanuddin sepatutnya mengadakan pertemuan dengan mangsa petang semalam.

Ketika dihubungi, Edry berkata, pihaknya telah berhubungan dengan JPS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bagi meminta penjelasan serta meminta penyiasatan dibuat terhadap beberapa perkara.

Katanya, dia dimaklumkan JPS bahawa hujan pada hari kejadian turun dalam kuantiti yang luar biasa, sedangkan Sungai Raya sudah tidak dapat menampung kapasiti air yang tinggi.

JPS juga katanya, akan membuat baik pulih terhadap runtuhan tebing di kawasan sungai dalam masa segera, dimulakan terlebih dahulu dengan kerja-kerja membersihkan runtuhan di sungai berkenaan.

“Baik pulih akan makan masa sedikit kerana masalah PKP (perintah kawalan pergerakan), jadi banyak barang susah untuk diperolehi. Kalau (sudah) dapat (bekalan barang) dia akan baik pulih segera,” katanya.

Selain itu, dia turut meminta MPKJ membuat siasatan terhadap pemajuan berdekatan sungai bagi memastikan pihak pemaju ada menyediakan mekanisme saliran yang baik bagi mengelak air melimpah ke dalam sungai, terutama ketika hujan lebat.

“Sebab kalau tidak disediakan apa-apa mekanisme pencegahan, kita tahu terutama pemajuan di kawasan berhampiran sungai itu, air akan terus terjah masuk ke dalam sungai (ketika hujan).

“Kita nak tahu apakah mekanisme yang mereka (pemaju) sudah buat, adakah ada kolam pembendungan (retention ponds), atau perkara yang dia buat supaya memastikan air tidak terus menjurus masuk ke dalam sungai (ketika hujan). Ini perkara yang juga kita beri perhatian,” katanya.

Edry yakin masalah itu dapat diselesaikan sedikit masa lagi sekiranya semua agensi memainkan peranan masing-masing, termasuk penduduk yang diharapkan menghentikan sikap suka membuang sampah ke dalam sungai ketika hujan lebat.

“Rupanya memang ada sikap, bila ada hujan lebat, akan dicampak sampah ke dalam sungai. Katil ada, sofa pun ada.

“Itu pun menyumbang juga (kepada banjir), semua kena main peranan. Kita minta sangat, merayu sangat-sangat (hentikan sikap demikian),” tambahnya lagi.

Maklumnya juga, bantuan makanan telah diberikan kepada penduduk Kampung Sungai Raya, serta Kampung Melaka yang turut mendapat tempias kejadian banjir yang berpunca di Sungai Raya tempoh hari.

Bantuan berupa 50 set makanan asas untuk setiap kampung itu adalah daripada bank makanan yang sepatutnya digunakan bagi disumbangkan buat penduduk sepanjang PKP berlangsung, namun didahulukan untuk mangsa bencana banjir berkenaan.