Skip to main
Logo Malaysiakini

Tapir berperanan penting sebar benih di hutan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua bulan lepas, masyarakat dikejutkan dengan insiden kematian enam ekor tapir akibat dilanggar di beberapa lokasi panas berhampiran hutan di Johor meskipun terdapat papan tanda amaran di kawasan berkenaan.

Justeru, kebimbangan terhadap kemungkinan pupusnya mamalia ini seharusnya diberi perhatian utama dengan melihat kepada peranan penting tapir dalam memelihara ekologi hutan itu sendiri.

Ini pandangan yang dikongsi oleh Pegawai Perhubungan ZoologiMY Nor Arlina Amirah Ahmad Ghani.

ZoologiMY adalah sebuah kumpulan yang terdiri daripada aktivis yang banyak melakukan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar serta hidupan liar di Malaysia selain menganjurkan program kesedaran masyarakat.

Beliau berkata tapir boleh dikategorikan sebagai spesies asas yang membawa maksud bahawa ia memainkan peranan unik dan penting dalam cara ekosistem berfungsi.

"Tanpa spesies ini, ekologi hutan akan terganggu. Tapir berperanan sebagai penyebar biji benih di hutan. Apabila haiwan ini makan buah-buahan (diet utama tapir), biji benih daripada buah-buahan itu akan disebarkan melalui najis, ataupun dikeluarkan semasa makan.

"Spesies ini juga membantu membentuk dan memberi struktur kepada hutan," katanya kepada Bernama di Johor Bahru baru-baru ini.

Pembalakan, pembangunan tak terkawal

Nor Arlina Amirah, yang turut terlibat dalam usaha konservasi hidupan liar (harimau) dan pendakwaan jenayah hidupan liar, berkata kematian sejumlah besar tapir boleh menyebabkan keseimbangan ekosistem hutan terganggu.

"Apabila spesies penyebar biji benih seperti tapir ini berkurangan, kepelbagaian spesies pokok di hutan akan turut berkurangan," kata graduan Sarjana Muda Sains dalam bidang Sains Komputer (Bioinformatik) dan PhD (Biosains) dari Universiti Teknologi Malaysia itu.

Beliau menjelaskan bahawa ancaman terbesar yang dihadapi hidupan liar di Malaysia, terutama tapir, ialah kehilangan habitat.

"Kehilangan habitat yang disebabkan penerokaan hutan (yang berpunca daripada pembalakan dan pembangunan tidak terkawal) akan menyebabkan haiwan ini hilang tempat tinggal dan ia seterusnya akan mula menceroboh kawasan manusia.

"Pemburuan haram juga adalah isu utama bukan sahaja untuk tapir malah spesies lain juga," katanya.

Nor Arlina Amirah berkata meskipun kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan hidupan liar di Malaysia berada pada tahap yang sepatutnya, ia perlu disusuli amalan terbaik yang boleh diguna pakai oleh orang awam.

"Seperti contoh, memandu perlahan di kawasan lintasan hidupan liar, melaporkan isu pemburuan haram kepada Jabatan Perhilitan, memberi sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) konservasi hidupan liar dan sebagainya," kata beliau.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi ZoologiMY ialah membetulkan pemikiran sesetengah pihak mengenai beberapa spesies yang dikatakan merosakkan tanaman dan menceroboh kawasan tempat tinggal manusia.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk kita memastikan bahawa segala pembangunan perlu dilakukan secara terancang agar hidupan liar dan manusia boleh hidup harmoni antara satu sama lain," kata beliau.

Nor Arlina Amirah turut menjelaskan bahawa ZoologiMY bertindak sebagai platform untuk memberi suara kepada hidupan liar dengan mengetengahkan isu semasa, memberi informasi dan menyebarkan maklumat daripada NGO dan aktivis lain kepada orang awam mengenai hidupan liar di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Johor Salman Saaban mendedahkan bahawa populasi tapir akan menjadi lebih kritikal di negeri berkenaan, terutama dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, antaranya disebabkan kematian akibat dilanggar kenderaan.

Beliau berkata pada tahun ini sahaja, Johor telah mencatat enam kes tapir mati dilanggar dalam tempoh kurang dua bulan iaitu antara 5 Jan hingga 25 Feb.

Di antara tahun 2015 hingga akhir 2019 pula, sejumlah 14 ekor tapir direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan, katanya.

- Bernama