Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang ramai dilarang kelola op basmi kuman di tempat awam Johor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerja-kerja pembasmian kuman di tempat-tempat awam yang dilakukan di negeri ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19, hanya boleh dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana terdapat laporan diterima kerajaan negeri, berhubung kerja-kerja sanitasi di tempat-tempat awam yang dikelolakan oleh orang awam.

Tiada kebenaran diberikan kepada individu, syarikat-syarikat atau mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), untuk melakukan kerja-kerja sanitasi berkenaan.

“Kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh pihak bomba, PBT dan agensi-agensi berkaitan.

“Namun begitu, orang awam juga boleh melakukan proses sanitasi di kediaman masing-masing dengan menggunakan cecair peluntur komersial dengan kadar 1:10 iaitu satu liter bahan peluntur dan 10 liter air bagi bersama-sama mengekang penularan wabak ini,” kata beliau dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Vidyananthan berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti aset-aset lain untuk dijadikan pusat kuarantin kes Covid-19, sekiranya perlu.

Beliau berkata aset itu termasuk hotel dan bangunan swasta yang bersesuaian.

Sehingga semalam, 14 daripada 54 pusat kuarantin yang telah diwartakan di negeri Johor, telah pun beroperasi.

Ini termasuklah Akademi Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Selatan, Johor Bahru; Pusat Kegiatan Guru, Kulai; Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kota Tinggi; Kolej Kediaman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, Muar; Hotel Seri Malaysia, Mersing; Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian dan Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa), Kluang.

- Bernama