Skip to main
Logo Malaysiakini

37 ditahan tipu jual topeng muka sejak PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan seramai 39 orang, manakala 22 daripadanya didakwa di mahkamah kerana melakukan penipuan dengan menjual topeng muka sejak Januari lalu.

Daripada jumlah mereka yang ditahan, 37 melakukan penipuan berkenaan sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Zakaria Ahmad berkata, kes penipuan berlaku sejak penularan Covid-19 di China dan ekoran kekurangan stok topeng muka di pasaran tempatan.

Kesemua mereka yang ditahan berusia 21 hingga 45 tahun, termasuk 10 wanita dan disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

"Akibat penipuan 556 kes kesemuanya melibatkan kerugian berjumlah RM4.2 juta setakat ini.

"Apa yang mengejutkan adalah 80 peratus penipuan atau 501 kes daripadanya yang melibatkan kerugian RM3.5 juta berlaku sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 Mac lalu,” katanya dalam sidang media khas hari ini, lapor Malaysiagazette.

Menurut Zakaria, penipuan topeng muka di Facebook merekodkan 401 kes disusuli WhatsApp 65 kes, mudah.my (27 kes), wechat (16 kes), Shoppe (10 kes) dan telefon bimbit (8 kes), Carousell dan Google masing-masing lima dan penjualan bersemuka pula tiga kes.

Katanya, modus operandi kesemua suspek adalah mengiklankan penjualan topeng muka dalam media sosial sebelum mangsa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Mangsa kemudian akan diberikan akaun bank untuk transaksi pembayaran dan dijanjikan penghantaran.

“Malangnya setelah pembayaran selesai, suspek gagal dihubungi mangsa serta akses media sosial turut disekat selain penghantaran yang dijanjikan suspek sindiket tidak berlaku.

“Ada juga mangsa (pembeli) mencari sendiri penjualan topeng muka melalui pelbagai saluran media sosial dan menerusi rakan-rakan mereka dan siasatan mendapati kebanyakan topeng yang dipaparkan oleh sindiket adalah gambar yang diambil dari internet.

“Bagi mengaburi mata mangsa atau pembeli, sindiket penipuan juga memberi nombor pengesanan atau tracking number penghantaran barangan yang sebenarnya barang lain dan bukan untuk tujuan penghantaran,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dan menyemak dulu kesahihannya di portal ‘semakmule’ JSJK selain status online selller di laman web http://biztrust.ssm.com.my.

Dalam perkembangan sama beliau berkata satu laporan polis dibuat oleh pihaknya bagi menafikan dakwaan mengatakan polis menghalang penerimaan topeng muka yang sudah disalurkan kepada negeri-negeri tertentu.

Beliau menasihati orang ramai berhati-hati dengan scammer yang menyiarkan pesanan ringkas bantuan prihatin kerajaan dengan menghantar mesej rawak meminta mangsa berkongsi nombor MyKad dan nombor akaun bank.

Selain itu, beliau juga meminta orang ramai berhati-hati terhadap sindiket penipuan membabitkan pengeluaran wang RM500 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun tiada kes direkodkan setakat ini.