Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Pematuhan PKP di pasar borong Selayang tak memuaskan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menilai tahap pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) di pasar borong Selayang, Kuala Lumpur sebagai tidak memuaskan.

Beliau membuat penilaian itu selepas melakukan pemeriksaan secara mengejut di pasar terbabit pada pukul 12 tengah hari tadi.

“Saya jalan secara senyap di tempat lori, tempah pemunggahan barang dan lihat tahap pematuhan PKP oleh pekerja dan pembeli di pasar borong Selayang tidak memuaskan.

“[…] Saya tengok 12 tengah hari, lori masih banyak, tetapi penjarakan sosial tak dilakukan, kaunter tiada hand sanitizer, peniaga pun pakai topeng muka yang tidak seperti dinasihatkan,” katanya menerusi sidang media secara langsung di akaun Facebook kementerian.

Tambahnya, antara sebab pemeriksaan dilakukan kerana didapati angka kes akibat wabak Covid-19 mencecah sehingga lapan kes di pasar berkenaan.

“Untuk maklumat adik kakak, di sini telah direkodkan kes positif wabak Covid-19 dalam enam kes dan terbaru dua kes terbaru spesifik di pasar borong ini sahaja,” katanya lagi.

Untuk maklumat, Malaysia kini telah merekodkan sejumlah 3,333 kes positif Covid-19 dengan 53 kematian.

Kuala Lumpur pula merupakan negeri kedua tertinggi yang diancam wabak tersebut dengan 543 kes positif.

Sementara itu, Annuar menjelaskan bahawa beliau akan mencadangkan beberapa langkah supaya arahan PKP dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Selepas balik dari pasar borong, saya terus bermesyuarat dan meminta supaya pihak berkuasa yang terbabit bekerjasama dan meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mempertingkatkan tahap pematuhan (PKP).

“Saya cadangkan supaya lori diletakkan berjauhan sedikit supaya pekerja yang ingin memunggah barang tidak akan berasak antara satu sama lain,” katanya.

Jelas Annuar, yang juga merupakan Anggota Parlimen Ketereh, beliau tidak akan menutup pasar tersebut susulan mendengar keluhan peniaga dan pemborong hasil tanaman.

“Kita benarkan aktiviti pasar borong beroperasi seperti biasa, kita dengar rayuan penanam sayur yang mahu bekalan diteruskan.

“Maka nasihat dan garis panduan yang disediakan KKM (kementerian kesihatan Malaysia) hendaklah kita patuhi,” katanya lagi.