KPWKM nafi keganasan rumah tangga meningkat 57 peratus
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menafikan peningkatan 57 peratus kes keganasan rumah tangga yang dicatatkan melalui Talian Kasih kementerian berkenaan.
Ini selepas berlaku peningkatan panggilan di talian itu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Artikel yang menyebut peningkatan kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 57 peratus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak benar sama sekali.
"KPWKM ingin menegaskan bahawa peningkatan jumlah peratusan panggilan tersebut merangkumi semua kategori termasuk panggilan berhubung wabak Covid-19, rujukan kes-kes bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes kaunseling dan lain-lain," jelasnya dalam satu kenyataan.
Bagiamanapun kementerian itu tidak menyebut artikel yang dimaksudkannya.
"Kementerian juga ingin memohon kerjasama semua pihak supaya data panggilan kes keganasan rumah tangga dan penderaaan kanak-kanak dalam data panggilan Talian Kasih sepanjang PKP yang disiarkan di portal KPWKM, tidak disalahtafsir melalui penulisan artikel atau hebahan mana-mana pihak.
"Dipohon merujuk sumber sahih serta penjelasan kementerian sebelum membuat sebarang kenyataan di mana-mana saluran komunikasi," jelasnya.
Menurutnya, KPWKM memandang serius semua panggilan yang diterima termasuk isu-isu keganasan rumah tangga dan penderaan terutama ketika tempoh PKP.
"Tindakan segera terus diambil oleh pihak JKM mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2017 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," jelasnya.
Terdahulu hari ini, New Straits Times melaporkan Talian Kasih menyaksikan 1,893 panggilan daripada wanita. iaitu peningkatan sebanyak 57 peratus sehingga 26 Mac lalu.
Ia memetik Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Yusoff sebagai berkata isu-isu yang dibangkitkan adalah berkaitan kekangan kewangan, masalah rumah tangga dan keganasan rumah tangga.
"Ada memang sedikit peningkatan dalam kes (keganasan rumah tangga), sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan (oleh pasangan) disebabkan perlu berada di rumah mereka. Keadaan ini, bagaimanapun, masih terkawal.
"Kami faham bahawa berada di dalam keadaan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dan tekanan. Ada yang panas baran, dan melepaskannya kepada isteri mereka. Terdapat juga kes di mana suami dan anak-anak menjadi mangsa,"beliau dipetik sebagai berkata.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai