Skip to main
Logo Malaysiakini

Berdepan permintaan subsidi, Ismail pertahan harga siling topeng muka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mempertahankan harga siling semasa topeng muka tiga lapis iaitu RM1.50, dengan menegaskan ia ditetapkan selepas mengambil kira semua kos berkaitan untuk pengilang dan peruncit.

"Bagaimanapun rayuan (untuk subsidi) boleh dibuat kepada Kementerian Kewangan kerana soal subsidi melibatkan kementerian itu," katanya yang juga menteri kanan untuk kluster keselamatan, di sidang media di Putrajaya hari ini.

"Apabila kami menetapkan harga siling, kami telah mengambil kira semua perkara yang berkaitan, termasuk kos import.

"Apabila kami mengimport, kami telah mengira kos sehingga sampai di kedai mereka...Itulah sebabnya kami memutuskan RM1.50 (untuk harga siling)," katanya.

Beliau diminta mengulas gesaan Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Sabah dan Persatuan Farmaseutikal Sarawak agar kerajaan memberi subsidi kepada ahli mereka yang telah membeli stok topeng muka berdasarkan pengumuman pada 21 Mac lalu, bahawa harga siling produk itu ditetapkan pada RM2.

Tiga persatuan itu berkata sejumlah besar farmasi telah memperoleh stok mereka dengan harga kos sedikit rendah daripada RM2, dan pesanan mereka hanya akan sampai akhir bulan ini.

Hanya sembilan hari selepas pengumuman itu, kerajaan mengumumkan pengurangan harga siling kepada RM1.50.

Tiga persatuan itu kemudian menggesa kerajaan untuk menimbang pemberian subsidi untuk kos mereka, atau membenarkan farmasi menghabiskan stok yang sudah dibeli pada harga RM2.

Selain peruncit, sekurang-kurangnya satu pengeluar tempatan dilaporkan kecewa dengan harga siling baru itu, dengan mendakwa ia hanya akan memberi manfaat kepada pengimport.

Portal Free Malaysia Today sebelum ini memetik Ketua Eksekutif Ideal Healthcare Sdn Bhd Haminnuddin Hamid sebagai berkata, pengeluar tempatan berdepan cabaran dengan duti import yang lebih tinggi dan kos untuk bahan mentah, berbanding produk yang telah siap.

Sementara itu, Ismail berkata, polis semalam mengadakan 26,202 pemeriksaan, termasuk di 4,174 premis, dan menahan 413 individu yang ingkar dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata jumlah tangkapan menurun 21.18 peratus, berbanding 524 tangkapan pada 2 April.

Selain operasi polis, Ismail berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui agensi di bawahnya juga menjalankan 426 operasi nyah jangkitan di 11 negeri, merangkumi 170 buah balai polis dan 38,140 unit perumahan Rakyat (PPR).

"Untuk bangunan strata, kementerian juga bersetuju bahawa pengurusan bangunan boleh meneruskan operasi, tetapi hanya dua orang dibenarkan bekerja," katanya.