Skip to main
Logo Malaysiakini

Presiden China ketuai perkabungan kenang mangsa Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Presiden China Xi Jinping pada Sabtu mengetuai barisan kepemimpinan negara itu, pada upacara perkabungan negara untuk memperingati mereka yang terkorban akibat wabak Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri Li Keqiang turut hadir pada upacara itu yang berlangsung di kompleks Zhongnanhai di Beijing pada 10 pagi, seluruh negara turut bertafakur selama tiga minit.

Bunga berwarna putih disematkan di dada dan bendera turut dikibarkan separuh tiang.

Kain rentang berwarna hitam yang tertera ungkapan "deeply mourn for martyrs and compatriots who died in Covid-19 outbreak” digantung di pintu masuk Dewan Huairen.

Di Beijing, kebanyakan kawasan serta bangunan kerajaan dan pejabat kedutaan bendera dikibarkan separuh tiang, kenderaan peribadi dan pengangkutan awam turut membunyikan hon.

Wuhan, bandar paling teruk terjejas menyaksikan pelbagai aktiviti memperingati mereka yang terkorban turut diadakan di dataran awam, hospital, komuniti dan tempat-tempat lain.

Wabak Covid-19, yang diisytiharkan darurat kesihatan global, antara detik sukar yang dilalui China sejak 1949.

Dalam berjuang memerangi wabak itu ramai kakitangan perubatan turut terkorban.

Sejumlah 81,639 kes Covid-19 dilaporkan di negara itu, meragut 3,326 nyawa, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Sabtu.

-Bernama