BPN dibayar 6 April, pelajar separuh masa dakwa layak tapi tercicir
Agihan pertama bantuan kewangan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibayar pada 6 April dan dijangka memberi manfaat kepada lebih daripada 6.8 juta isi rumah dan lebih daripada 1.4 juta individu bujang.
Bagaimanapun, Malaysiakini mendapat tahu bahawa sesetengah individu namanya tercicir dari mendapat bantuan itu meskipun layak dari segi kriteri, terutamanya pelajar separuh masa.
Langkah bagi mengatasi isu berkenaan difahamkan sedang diambil.
Agihan pertama BPN akan melibatkan dana RM5.63 bilion.
Bagi isi rumah B40 yang berpendapatan kurang daripada RM4,000, mereka akan menerima RM1,000 pada bulan ini dan baki RM600 akan dibayar bulan depan.
Isi rumah yang berpendapatan antara RM4,000 dan RM8,000 pula akan menerima RM500 bulan ini dan baki RM500 bulan depan.
Individu bujang yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 akan mendapat RM500 bulan ini, dan RM300 bulan depan.
Individu bujang berpendapatan antara RM2,000 dan RM4,000 akan mendapat RM250 bulan ini, dan RM250 bulan depan.
Bagaimanapun, tidak semua yang sepatutnya mendapat bantuan tunai itu telah layak.
Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Shima, sepatutnya layak mendapatkan bantuan di bawah kategori isi rumah B40.
Bagaimanapun, Shima memberitahu Malaysiakini bahawa dia hilang kelayakan kerana dia seorang pelajar separuh masa.
Menurut Soalan Lazim BPN, pelajar sepenuh masa tidak menerima BPN dan hanya menerima bantuan RM200 di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan.
Bagaimanapun, tidak ada disebut tentang pelajar sambilan seperti Shima yang belajar di universiti awam.
"Apabila BPN ini tiba-tiba cakap saya pelajar, sedangkan saya pelajar sepenuh masa saja, saya rasa pelik sikit.
"Takkan mereka (kerajaan) tak ada data saya bayar cukai pendapatan
tapi ada data saya sebagai pelajar," katanya.
Mereka yang tidak layak mendapat bantuan itu mempunyai pilihan untuk membuat rayuan apabila mereka menyemak status BPN dalam talian.
Bagaimanapun, pada masa ini bagi mereka yang hilang kelayakan kerana merupakan pelajar, pilihan yang tersedia bagi mereka pada sistem itu ialah "tamat pengajian", "sedang belajar", atau "tidak berkaitan".
Semakan di Twitter juga mendapati bahawa banyak pelajar separuh masa yang mendakwa sepatutnya layak untuk menerima BPN berdepan isu sama.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan mengenai perkara ini, dan memahami bahawa perkara itu sedang dipertimbangkan.
Mereka yang ditetapkan sebagai tidak layak menerima BPN diberi masa sehingga akhir April untuk mengemukakan rayuan.
Permohonan baru bagi mereka yang tidak berada di dalam sistem tetapi layak untuk BPN juga boleh dibuat sehingga akhir April.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai