Skip to main
Logo Malaysiakini

S'pura zahir terima kasih pada Malaysia, bawa pulang warga dari Nepal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Singapura hari ini menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kerana bersetuju memenuhi permintaan untuk menempatkan warga Singapura dalam penerbangan balik dari Nepal.

“Dua puluh dua warga Singapura itu tiba dengan selamat di Singapura malam ini dari Kathmandu, Nepal,” kata Kementerian Luar republik itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata warga Singapura itu menaiki pesawat yang disediakan Kerajaan Malaysia untuk membawa pulang rakyatnya dari Kathmandu ke Kuala Lumpur dan mereka kemudian pulang ke Singapura dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan tambahan 75 kes jangkitan Covid-19, dengan tiga daripadanya melibatkan rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memberitahu satu daripada kes import dari Malaysia melibatkan seorang lelaki berumur 32 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, manakala dua lagi dari sektor penjagaan kesihatan awam.

Dua kes dari sektor penjagaan kesihatan awam itu melibatkan seorang porter wanita berumur 24 tahun di Hospital Tan Tock Seng yang merupakan pemegang Pas Jangka Panjang dan seorang penolong rawatan kesihatan wanita berumur 20 tahun di Sengkang General Hospital yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Menurut kementerian itu 75 kes baharu hari ini yang terdiri daripada enam kes import dan 69 kes tempatan, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kini adalah 1,189.

Sehingga hari ini Singapura telah mengenal pasti empat lagi kluster baharu yang terdiri daripada Sungei Tengah Lodge di Old Choa Chu Kang Road; Toh Guan Dormitory di Toh Guan Road East; Cochrane Lodge II di Admiralty Road West; dan The Orange Ballroom di Geylang Road.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata 15 lagi kes jangitan Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, menjadikan jumlah yang sembuh daripada jangkitan penyakit itu kini adalah 297.

Daripada 500 kes yang disahkan yang masih di hospital, kebanyakan mereka adalah dalam keadaan stabil atau semakin sembuh, manakala 26 lagi dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu 386 kes yang dalam keadaan baik secara klinikal namun masih positif COVID-19, diasingkan dan dijaga di Concord International Hospital, Mount Elizabeth Hospital, Gleneagles Hospital serta Community Isolation Facility di D’Resort NTUC.

Singapura hari ini melaporkan satu lagi kematian akibat Covid-19, mrenjadikan jumlah yang maut akibat penyakit itu kini adalah enam.

Sehingga pukul 12 tengah hari, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengenal pasti 16,910 kontak rapat yang telah dikuarantin.

- Bernama