Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk S'pura pulang dari Asean, India, Perancis, Swiss kena kuarantin di hotel

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Semua warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang kembali dari negara Asean, Perancis, India dan Switzerland perlu mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan khusus Notis Duduk Di Rumah (SHN) di hotel setempat.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dalam kenyataan semalam, memaklumkan, peraturan baru itu berkuasa kuasa 11.59 malam, Ahad ini.

Sebelum ini, katanya, langkah tersebut hanya bagi mereka yang pulang dari Amerika Syarikat dan United Kingdom dan ia akan diteruskan untuk mereka dari kedua-dua negara tersebut.

MOH menjelaskan negara-negara tersebut dipilih berdasarkan penilaian risiko dan sejarah kes diimport di Singapura.

“Syarat meningkatkan notis SHN itu bertujuan melindungi warga Singapura serta membendung risiko penularan virus dalam komuniti daripada kes import,” menurut kementerian itu.

Menurut MOH, mereka yang pulang dari negara lain perlu menjalani SHN 14-hari di rumah masing-masing.

“Kemudahan SHN bukan sahaja mengenai peruntukan bilik hotel tetapi MOH perlu bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk melatih staf, melaksanakan aturan keselamatan serta kawalan jangkitan dan langkah berjaga-jaga,” katanya.

“Ia mengambil masa untuk menyiapkan kemudahan seperti ini dan tidak mempunyai kemudahan yang cukup untuk menampung semua yang pulang, Oleh itu berdasarkan kapasiti yang sedia ada, kami mengutamakan bagi mereka yang pulang dari negara-negara khusus itu,” katanya.

MOH berkata pasukan petugas Covid-19 terdiri daripada pelbagai kementerian akan terus memantau perkembangan semasa penularan virus itu dan bekerjasama rapat dengan sektor swasta untuk menyesuaikan kapasiti kemudahan SHN mengikut keperluan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.