Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki Myanmar maut terjatuh tingkat 5 ketika gaduh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas terjatuh dari tingkat lima rumah flat didiaminya ketika bergaduh dengan rakan senegaranya dalam kejadian di Taman Pelangi di Bukit Mertajam, petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Mohd Mustafa Bidin.

Beliau berkata lelaki berusia 30 tahun itu didapati telah meninggal dunia ketika polis tiba di lokasi kejadian pada 4 petang dan pemeriksaan awal menemukan beberapa kesan kecederaan lain termasuk kesan tikaman di beberapa bahagian badan mangsa.

Rakan serumah mangsa yang juga warga Myanmar didapati cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum ditahan untuk siasatan dan polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu, katanya di Bukit Mertajam, hari ini

Katanya siasatan awal mendapati dua lelaki itu bekerja sebagai operator di kilang yang sama di Perai dan semasa kejadian hanya tinggal mereka berdua di rumah itu yang dijadikan asrama pekerja manakala empat lagi rakan serumah keluar bekerja.

"Menurut jiran mereka iaitu seorang wanita warga Indonesia yang juga pekerja kilang, dua lelaki itu telah bergaduh bermula pukul 1 tengah hari kerana dia terdengar bunyi bising dari rumah mereka namun dia tidak tahu apa yang terjadi kerana tidak faham bahasa Myanmar," katanya.

Mohd Mustafa berkata polis tidak menolak kemungkinan mereka dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

- Bernama