Skip to main
Logo Malaysiakini

Pensyarah muzik UPSI: Hanya 7 pelajar berlatih di rumah, bukan 20 di kampus

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan dakwaan bahawa 20 pelajar fakulti itu diarahkan untuk membuat latihan bagi persembahan sempena lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad semalam.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni fakulti itu Prof Madya Dr Mohd Azam Sulong, berkata hanya tujuh pelajar yang terlibat, bertentangan dengan dakwaan sumber yang dipetik laporan Malaysiakini.

"Pelajar yang terlibat hanya tujuh orang dan mereka tinggal serumah...Mereka membuat latihan di rumah sewa mereka pada 3 April dan bukannya di kampus seperti yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sumber yang bercakap dengan Malaysiakini semalam tidak menyatakan tempat latihan dibuat tetapi memberitahu mereka telah mengadakan latihan selama seminggu sebelum program lawatan itu.

Persembahan itu telah dibatalkan dan keputusan itu didakwa dibuat di saat akhir.

Semalam Naib Canselor UPSI Mohammad Shatar Sabran berkata, persembahan itu dibatalkan selepas perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam pada itu, Mohd Azam menyuarakan penghargaan kepada Noraini kerana sanggup ke universiti itu bagi meninjau kebajikan pelajar yang terkandas ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Bukankah ini ciri-ciri pemimpin yang kita inginkan, sanggup berkorban demi kebajikan pelajar tercinta?" katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar sentiasa bersikap positif dan menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing, di tengah-tengah pandemik Covid-19.