Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan negeri tak terjejas 5 menteri kena kuarantin - KM S'wak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pentadbiran kerajaan Sarawak tidak terjejas biarpun lima anggota Kabinet negeri itu, termasuk dua orang timbalan ketua menteri, diarahkan untuk mengkuarantinkan diri mereka di rumah, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.

Katanya kemajuan teknologi komunikasi masa kini membolehkan kesemua menteri terlibat meneruskan tanggungjawab mereka biarpun terpaksa mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari selepas mereka didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang yang disahkan positif Covid-19.

“Kami masih berhubung menggunakan teknologi… badan saja ke lain (tetapi) mereka punya hati semua sudah bekerja,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian simbolik bantuan makanan untuk penduduk luar bandar di Miri, di utara Sarawak.

Menteri-menteri negeri yang dikuarantin itu ialah Timbalan Ketua Menteri I Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri II Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Fatimah Abdullah; dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata sebelum ini, Menteri Muda Pengangkutan Dr Jerip Susil, disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

- Bernama