Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusaha bas rayu bayaran one-off seperti e-hailing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria merayu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memberi bayaran secara one-off kepada pengusaha dan pemandu bas sekolah.

Ini katanya sama seperti mana bantuan kerajaan persekutuan kepada pemandu teksi dan e-hailing.

Jelasnya, pengusaha dan pemandu bas sekolah juga turut terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

"Kebanyakan pengusaha dan pemandu bas sekolah bukannya orang senang. Mereka hanya ada sebuah bas sekolah dan hanya bergantung kepada pendapatan mengangkut pelajar sekolah sahaja.

"Selepas PKP dilaksanakan, mereka sudah tiada punca pendapatan untuk membeli barang keperluan seperti makanan dan sebagainya.

"Justeru, saya merayu kepada perdana menteri agar dapat memberi bantuan kepada kami seperti mana yang diberikan kepada pemandu teksi dan e-hailing," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan melalui Bantuan Prihatin Nasional mengumumkan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. 

Sementara itu, mulai 2 April lalu pemandu teksi dan pemandu pelancong yang berdaftar pula mula mendapat bayaran one-off RM600.

Menjelaskan lanjut, Izani berkata di Kelantan terdapat lebih kurang 100 pengusaha bas dan hanya 80 ahli yang berdaftar dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kelantan.

"Kebanyakan pengusaha yang terkesan dengan PKP ini ialah di sekitar kawasan pedalaman dan bandar di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain.

"Sehubungan itu, kami merayu agar pertimbangan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada penguhasa dan pemandu bas sekolah yang turut terjejas pendapatannya sepanjang tepoh PKP ini," katanya.