Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia timbang dapatkan mesin pengesanan automatik dari China

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia sedang menimbang untuk mendapatkan peralatan baru dari China yang dapat menjalankan ujian Covid-19 secara automatik, justeru meningkatkan kelajuan pengesanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang mendapatkan kit pengesanan jenis kedua Korea Selatan dan akan menguji keberkesanannya sebelum memutuskan untuk menambahnya atau tidak.

Kumpulan pertama kit pengesanan yang diterima dari Korea selatan sebelum ini didapati kurang berkesan ketika diuji.

"Kita juga sedang melihat kit pengesanan yang lain, kita bercakap tentang kit pengesanan pantas antigen. Esok kita akan dapat kit pengesanan baru dari Korea Selatan, kita harap ketepatannya lebih 80 peratus.

"Kita juga sedang melihat teknik baru untuk melakukan ujian PCR (polymerase chain reaction) dengan satu alat yang diimport dari China, yang juga automatik agar proses dapat dilakukan dengan lebih pantas. Mungkin dengan mesin ini, kita dapat lakukan tambahan 5,000 ujian dalam sehari," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat ini, katanya, KKM telah menjalankan ujian terhadap 51,937 kes dengan 3,662 daripadanya - iaitu kira-kira 7.05 peratus daripada jumlah itu - didapati positif.

Sejumlah 43 makmal KKM dapat menjalankan ujian terhadap 11,500 kes sehari dan KKM merancang untuk menambah dua lagi makmal di Sandakan dan Tawau, katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan matlamat KKM adalah untuk dapat melakukan 16,500 ujian sehari dengan kadar segera.

Topeng muka: Tunggu garis panduan WHO

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata KKM masih menunggu garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkenaan topeng muka, tetapi menggalakkan pemakaiannya, terutama untuk pekerja kesihatan.

"Kita juga menunggu garis panduan daripada WHO tetapi WHO lebih terbuka untuk melihat keapda bukti, sama ada ia bukti spesifik atau tidak. Bagaimanapun kita menasihati pekerja kesihatan barisan depan untuk memakai topeng muka apabila berdepan dengan orang awam.

"Untuk orang awam, jika ada gejala, anda boleh memakainya.

"Persoalannya perlukah semua orang pakai topeng tetapi jika anda berada di tempat awam, mungkin ada perlu (memakainya), tetapi kami perlu melihat kepada bukti dahulu," katanya.

Berkenaan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Noor Hisham berkata KKM telah mengambil 17,012 sampel setakat ini, dengan 1,591 daripadanya didapati positif Covid-19.

Katanya, 10,912 sampel didapati negatif manakala 4,500 lagi masih menunggu keputusan.

Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada polis dan jawatankuasa perhimpunan itu atas kerjasama dalam usaha mengesan dan menggalakkan mereka yang hadir untuk tampil membuat pemeriksaan.

Pada masa sama, beliau maklum bahawa masih ada warga Malaysia yang berada di Sulawesi, India dan Pakistan, dan meminta kerjasama polis dalam usaha mengesan mereka sebaik pulang nanti.

Katanya lagi, mana-mana individu yang pulang dari luar negara akan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan. Ia berbeza dengan sebelum ini, di mana mereka dibenarkan menjalankan kuarantin sendiri di rumah.

Setakat 1 April, Hisham berkata seramai 1,500 warga telah pulang dari luar negara dan menjalani ujian.

Setakat ini, ada 15 kes yang memiliki jelaga dan telah diasingkan dan akan menjalani pengesanan Covid-19, katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.