Skip to main
Logo Malaysiakini

PPR Taman Harmoni, Sandakan dinyah kuman

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan hari ini menjalankan proses nyah kuman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni di Sandakan, selepas kawasan itu dilapor merekodkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di daerah ini.

Ketua JBPM Zon Sandakan, Martin Thomas berkata sembilan anggota terlibat dalam proses nyah kuman itu yang dilakukan secara semburan di sekitar taman perumahan berkenaan yang mempunyai 10 blok.

“JBPM Zon Sandakan juga mendapat sumbangan bahan nyah kuman untuk disampaikan kepada semua unit rumah agar penghuni dapat membersihkan rumah masing-masing.

“Kita pula akan tumpu kepada sekitar taman perumahan seperti jalan raya dengan cara semburan kabus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima bahan nyah kuman daripada Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong di sini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipertingkatkan di taman perumahan itu sejak Sabtu (4 April) selepas kawasan berkenaan merekodkan lima penghuni disahkan positif COVID-19, yang kini dirawat di Hospital Duchess of Kent, manakala kira-kira 20 penghuni perumahan itu ditempatkan di pusat kuarantin di sini.

- Bernama