Skip to main
Logo Malaysiakini

Tentang kerajaan tanpa logo dan tiada manifesto

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Tarikh 1 Mac 2020 satu lagi peristiwa bersejarah dalam demokrasi dan landskap politik tanahair terlakar apabila Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri (PM) kelapan Malaysia.

Isu ini jika dipanjangkan ke mahkamah akan mencetuskan sekali lagi krisis perlembagaan. Maka, tertubuhlah sebuah kerajaan baru dipanggil Perikatan Nasional (PN).

Ia merupakan gabungan beberapa parti politik termasuk Umno dan PAS. Tidak kedengaran ucapan tahniah dari negara luar mahupun gerakan Islam antarabangsa untuk PN setakat ini.

Ada yang menggelar ia kerajaan pintu belakang dan ada yang mengaku kerajaan tebuk atap. Yang pasti, ia bukan datang daripada mandat rakyat seperti Pakatan Harapan (PH).

PN sebuah kerajaan yang ditentukan oleh sokongan ahli parlimen yang mahukan kuasa tanpa mempedulikan semangat demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, kerajaan PN tiada bendera dan manifesto. Jika diambil manifesto satu parti pun - seperti janji PAS menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - pasti mereka memungkiri janji.

Umno dan PAS sudah melancarkan kempen kerajaan Melayu Islam iaitu sebelum PRU ke-14 lagi. Walaupun gagal, usaha berkenaan berterusan selepas PH menubuhkan kerajaan di Putrajaya. Kedua-dua parti tersebut membentuk Muafakat Nasional (MN).

Mereka membangkitkan isu perkauman dan apa sahaja isu yang berlaku dalam negara dikaitkan dengan kesalahan bangsa lain terutamanya kaum Cina.

Rela makan rasuah, zalim

Memang ada yang termakan hasutan itu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu. Kebimbangan kononnya kerajaan PH dikuasai orang Cina menjadi bualan orang Melayu di bawah.

Rakyat dikhayalkan, seolah-olah mereka lupa dosa rasuah dan rompakan duit rakyat berbilion ringgit pemimpin Umno. Umno adalah parti yang korup. Kini, Umno menjadi kerajaan semula walaupun kalah dalam pilihan raya.

Inilah pengkhianatan yang gagal difahami oleh sesetengah tokoh agama.

Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan Melayu Islam? Ia adalah kerajaan yang diperintah oleh pemimpin berbangsa Melayu. Melayu yang bagaimana? Itu tak penting. Biarlah mereka pemakan rasuah, perompak atau penzalim, asalkan Melayu.

Abdul Hadi Awang

Bagi mereka, nilai dan peribadi Islam itu tidak penting, asalkan Melayu. Orang Melayu lupa bahawa kerajaan tidak menentukan siapa ke syurga atau siapa ke neraka.

Yang menentukan seseorang itu ke syurga atau neraka adalah amalan sendiri. Sejarah menunjukkan banyak empayar Islam jatuh kerana pemimpin yang korup dan zalim. Jelas, garis sebuah kerajaan yang baik dan buruk adalah keadilan.

Jika kerajaan PN tidak dibentuk atas garis keadilan, apa yang boleh diharapkan dasar pentadbirannya?

Melayu Islam adalah penduduk asal bumi Malaysia ini dan sebagai seorang Melayu Islam, sudah pasti saya pun mengimpikan sebuah kerajaan Melayu Islam.

Cuma impian saya biarkan kerajaan Melayu Islam yang ada nilai, bersih dan kompeten. Seperti memilih nasi atau roti. Nasi itu makanan ruji, tetapi jika nasi itu berbau dan ada pula roti segar, kenapa tidak saya memilih roti?

Presiden MCA tak setuju

Di sinilah letaknya pilihan orang Melayu - sama ada kerajaan bertemakan Melayu Islam atau yang berpegang kepada politik nilai.

Adakah benar kerajaan PN ini kerajaan Melayu Islam, atau ia hanya mainan politik untuk meracuni pemikiran rakyat? Umno dan PAS mendakwa kerajaan PH dikuasai Cina kerana terdapat orang Cina dalam kabinet PH.

Ya, memang betul, tetapi ia hanya sekitar 35 peratus berbanding kabinet PN apabila 100 peratus ahli parlimen MCA dilantik ke kabinet. Saya tidak bersikap rasis, tetapi dengan angka sebegini, bayangkan jika lebih ramai ahli parlimen MCA. Lebih ramai lagilah menteri dari MCA dalam kerajaan PN.

Sikap tidak jujur Umno-PAS ini terserlah apabila mereka membisu dengan kenyataan presiden MCA yang tidak mahu kerajaan PN dianggap kerajaan Melayu Islam.

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong

Bukankah sebelum ini mereka lantang meracuni rakyat? Namun belang sebenar dapat dilihat apabila tertubuhnya kerajaan PN. Mereka takut kepada sebuah parti Cina yang hanya ada dua orang ahli parlimen.

Sekali lagi orang Melayu ditipu.

Ini belum lagi dibincangkan soal hukum hudud, RUU355, LGBT, kilang Carlsberg dan pusat judi di Genting. Ke mana hilang suara Islam PAS? Hakikatnya, PAS juga sebuah parti politik yang sanggup melakukan apa saja demi mencapai kuasa.

PAS tidak lagi bercakap tentang isu rasuah dan rakyat, tetapi mereka menggunakan sentimen Islam dan Melayu, asalkan menjadi kerajaan. Tetapi, setelah menjadi kerajaan, apa fungsi PAS? Tiada dasar jelas dan polisi yang baik. Mewa masih terpinga-pinga.

Fungsi utama kerajaan ialah menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Seperti kata presiden ketiga Amerika Syarikat, Thomas Jefferson: “The purpose of government is to enable the people of a nation to live in safety and happiness. Government exists for the interests of the governed, not for the governors.”

Allah juga menyebut tentang kemakmuran negara (baldatun tayyibatun) dalam surah Saba' ayat 15.

Kerajaan Melayu Islam PN pula mengizinkan syarikat pengilang arak beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedangkan arak bukanlah barang keperluan.

Tiada langkah konkrit

Dalam keadaan rakyat mahukan tindakan tegas terhadap pemandu mabuk, kerajaan PN membenarkan operasinya ketika penjualannya tidak sejajar dengan tujuan PKP.

PKP adalah tempoh bagi rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Kenapa kerajaan Melayu Islam tidak sensitif untuk mengawal peningkatan pengambilan arak dari 0.8 liter pada 2005 kepada 1.7 liter pada 2015?

Malaysia pula didakwa menduduki tangga ke-10 negara pengguna arak pada 2016. Hilang sudah suara Islam PAS.

Kerajaan PN ditubuhkan tanpa muafakat politik yang tulen. Muafakat itu rapuh dan sudah retak menanti belah. Pemberian bantuan kerajaan PN tidak akan selamanya mampu menutup konflik politik dalaman PN.

Kuasa besar politik dalam PN sedang mengatur bidak masing-masing. Mereka mementingkan kuasa tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Dalam keresahan rakyat berhadapan wabak Covid-19, ramai menteri PN hilang, seolah-olah dikuarantinkan.

Menteri-menteri PN dilihat tidak serius serta kompeten menyelesaikan isu rakyat. Ekonomi tidak bergerak dan kegelisahan serta kekurangan makanan terjadi namun tiada langkah konkrit diambil.

Petani dan nelayan merungut hasil mereka terbuang. Rantaian bekalan makanan terganggu teruk tanpa pelan pemulihan. Perindustrian kecil sederhana (PKS) - yang menguasai 98 peratus perniagaan negara - tidak dirangsang.

Kebanyakan tauke dan pekerja dalam bidang PKS ini terdiri daripada orang Melayu Islam.

Hidup orang Melayu semakin susah hari ini. Tetapi Mak Cik Kiah tetap berkata: "Biar papa, asalkan Melayu". Lama-lama, Mak Cik Kiah pun akan merajuk. Walaupun dijanjikan macam-macam bantuan, tetapi hidup Mak Cik Kiah akan kembali susah setelah bantuan habis sebulan dua ini.

Kesempitan akibat ekonomi yang meleset ini akan berpanjangan entah berapa lama.

Kerajaan Melayu Islam dilihat tidak berfungsi. Di manakah Islam sebagai penyelesai masalah? Ia sebenarnya cuma umpan politik semata-mata. Menteri PN - apabila muncul di khalayak ramai - pun seperti pelawak. Ada yang sudah lari masuk gua menutup akaun twitter, dan ada yang berubah menjadi kartun.

Saiz kabinet PN lebih besar daripada PH. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula degan pelantikan duta khas yang pasti membebankan rakyat kerana gaji mereka perlu dibayar.

Rakyat yang perlu dibantu, bukan pemain politik yang bersama dalam Langkah Sheraton.

Kini, orang Melayu di persimpangan. Wajarkah mereka menyokong sebuah kerajaan Melayu Islam tetapi gagal menyelesaikan masalah rakyat? Sampai bila orang Melayu boleh berpegang kepada ungkapan "asalkan Melayu" itu?

Ke mana hala tuju kerajaan Melayu Islam PN? Adakah rakyat masih mahu terperangkap dengan sentimen Melayu Islam, atau semakin matang untuk menerima sebuah kerajaan yang berkongsi kuasa, dengan orang Melayu Islam kekal menjadi perdana menteri?

Islam dan Melayu tetap terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sikap jujur ini ada pada PH, bukan PN.


FAIZ FADZIL ialah Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.