Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Rakyat kena tindakan tegas, majikan dibiarkan langgar PKP’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN l Pada masa bila rakyat biasa yang melanggar perintah kawalan pergerkan (PKP) dikenakan tindakan tegas , sehingga ditahan, diheret ke mahkamah dan di penjarakan, kenapa pula pihak majikan dibenarkan terus melanggar arahan PKP dan menganiyayai pekerja?

Sepanjang 15 hari ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) sedang membantu pekerja-pekerja di Malaysia untuk menjawab semua soalan mereka melalui Hotline kami. Lebih 250 panggilan telah direkod oleh semua penyelaras kami.

Pada awal pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami dibanjiri dengan aduan dari pekerja tentang syarikat-syarkat yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam PKP. Di antara aduan yang PSM terima ialah:

• Syarikat yang bukan perkhidmatan atau pembuatan kritikal ‘essential’ beroperasi secara ‘curi-curi’ tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

• Majikan yang memaksa pekerja hadir kerja.

• Majikan yang dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula gagal mematuhi syarat mengurangkan kapasiti pekerja ke 50 peratus (seperti sektor makanan, perladangan, dan pembuatan).

• Majikan yang leka dan tidak menyediakan penutup muka, cecair sanitasi ataupun tidak mengamalkan penjarakan sosial di kilang.

• Kilang yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai diberikan kebenaran beroperasi seperti industri semikonduktor dan elektronik. Bilangan ribuan pekerja di premis kilang menyebabkan langkah penjarakan sosial, tidak dapat dilakukan. Bayangkan kesannya jika kes Covid-19 merebak seperti api.

• PSM juga mendapat aduan dan risau mengenai kedaan di asrama dan hostel pekerja. Terutamanya hostel dan rumah-rumah yang disewakan oleh majikan untuk pekerja asing. Kebanyakkan hostel in padat dan tidak mungkin penjarakan sosial dilaksanakan. Pada masa kerja mungkin pekerja tidak merasakannya kerana, rakan sekerja mereka mungkin keluar bekerja dalam syif kerja yang berbeza. Tetapi dalam situasi PKP, semua pekerja terpaksa duduk di rumah dan tidak dapat keluar. Ia juga ada kemungkinan menjadi suatu hotspot untuk Covid-19 merebak .

Sekarang di fasa kedua PKP, kebanyakan pekerja mengadu bahawa:

• Syarikat memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji ataupun mengunakan cuti tahunan dalam masa ini. Walaupun mereka tidak setuju, tetapi majikan mengugut pekerja bahawa mereka akan buang kerja jika tidak mengisi borang setuju ambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji.

• Syarikat telah memotong gaji untuk tempoh PKP. Pekerja terkejut apabila tengok slip gaji mereka. Mengapa syarikat tidak mematuhi arahan kerajaan yang menyatakan gaji tidak boleh dipotong? Malangnya apabila aduan dikemukakan oleh pekerja, Jabatan Tenaga Kerja JTK meminta pekerja menunggu sehingga tempoh PKP tamat dan barulah membuat aduan dan tuntutan di Jabatan Tenaga Buruh. Tetapi jika gaji bulan Mac mereka dipotong teruk, bagaimana mereka hendak menampung kos makan dalam bulan April, Mei ini?

• Syarikat juga membuang pekerja tanpa notis dengan menghantar mesej di whatsapp dan ada juga syarikat yang memberi alasan perniagaan tidak boleh diteruskan kerana isu Covid-19 dan memberhentikan pekerja. Sektor hotel, syarikat penerbangan dan banyak lagi syarikat mengambil tindakan ini. Tindakan ini memberi gambaran bahawa syarikat mengambil kesempatan terhadap situasi dan tidak menggunakan kaedah pengurangan ataupun pemberhentian pekerja mengikut undang-undang kerja. Ada juga pekerja yang dihentikan dengan serta merta.

Kami memandang serius kelakuan Syarikat-syarikat ini yang hanya mementingkan perniagaan semata-mata walaupun nyawa mereka sendiripun berisiko pada masa ini. Hal pencegahan wabak ataupun keselamatan pekerja diabaikan.

Syarikat-syarikat ini, selama ini mengaut kenuntungan jutaan ringgit dan kini ‘menangis dan merungut’ untuk membayar gaji sehingga tempoh PKP tamat.

Kita selalu dengar rungutan pihak majikan walaupun sedikit faedah dinaikkan kepada pekerja. Tetapi semasa seluruh negara dalam berdepan dengan Pandemic Covid-19, mereka masih teruskan rungutan mereka tentang keuntungan mereka.

Terdedah fikiran kapitalis majikan yang enggan bersolidariti dengan rakyat melawan wabak Covid-19 .

PSM menyeru menteri sumber manusia dengan segera mengerahkan anggotanya untuk turun padang dan memeriksa aduan-aduan pekerja ini dengan serius.

Arahan kepada pekerja untuk memfailkan aduan dan kes mereka selepas tempoh PKP Covid-19 tidak masuk akal. Arahan potong gaji dan pemgambilan cuti paksa sedang dilakukan oleh majikan sekarang , maka pihak KSM harus bertindak sekarang memberikan amaran dan tindakan jelas keatas majikan-majikan yang ingkar .

Maka, kerajaan harus tegas dalam memastikan tindakan segera diambil keatas majikan-majikan yang tidak berhati perut ini serta menjaga kebajikan dan menegakkan hak pekerja.


SIVARANJANI MANIKAM adalah penyelaras biro pekerja PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.