Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kalau zaman PH tentu dah dituduh kafir harbi’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jika kebenaran kilang arak beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlaku di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pasti negara huru-hara dengan laungan takbir dan tuduhan kafir harbi, kata Khalid Samad.

Dalam satu ciapan di Twitter, Pengarah Komunikasi Parti Amanah itu membangkitkan persoalan terhadap dasar Islam mengenai isu arak.

"Hmmm.. Kalau berlaku zaman PH dah huru-hara negara dengan laungan takbir, tuduhan kafir harbi, dsbnya (dan sebagainya)

"Apa dasar Islam terhadap arak? Ia persoalan lama yang wujud sejak dulu, bukan isu baru," katanya.

Khalid turut memetik kata-kata pemimpin Islam Umar Al-Khattab: "Tauliahkan kepada mereka untuk menjual dan kamu ambillah dari cukainya," dipercayai merujuk kepada isu penjualan arak.

Semalam, tular sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan Heineken Malaysia Bhd beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Syarikat pembekal bir itu kemudian mengesahkan ketulenan surat berkenaan  melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.

Ia kemudiannya mendapat kritikan pemimpin Umno dan PAS yang membidas keputusan membenarkan operasi kilang arak ketika ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa membidas keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak itu yang dakwanya bertentangan dengan dasar yang ditetapkan.

“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan. Tindakan perlu diambil segera,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Pemimpin PAS turut membantah keputusan kerajaan membenarkan kilang arak terus beroperasi ketika ini dengan menyifatkan tindakan sedemikian umpama mengundang kemurkaan Allah SWT ketika mana negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad menggesa pihak kerajaan menarik balik kelulusan operasi kilang itu ketika PKP.

Seorang lagi pemimpin PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang juga anggota Parlimen Pasir Mas menegaskan kerajaan tidak boleh bertolak ansur dalam isu berkenaan.