Skip to main
Logo Malaysiakini

Suaram gesa inkues kes kematian dalam lokap di Bentong

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini mendesak supaya siasatan inkues dijalankan terhadap kematian seorang tahanan berusia 30 tahun di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Bentong.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy menyifatkan kematian G Jestus Kevin menimbulkan persoalan membimbangkan bagaimana suspek jenayah diperlakukan oleh polis semasa dalam tahanan.

NGO hak asasi manusia tersebut turut menyeru kerajaan menyiasat perkara terbabit mengikut Seksyen 334 Kanun Acara Jenayah.

“Sekiranya terdapat bukti yang kematian disebabkan oleh tindakan yang melanggar undang-undang, pelaku, termasuk pihak atasan mereka mesti didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa lelaki tersebut ditangkap pada 2 April lalu kerana disyaki mencuri kemudian disahkan meninggal dunia semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Yusof Unis, anggota polis yang bertugas mendapati mangsa menghadapi kesukaran bernafas kira-kira jam 12.50 malam semalam sebelum memanggil ambulans.

Bagaimanapun, sebaik sahaja ambulans tiba di lokap, mereka mendapati lelaki itu telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Bentong di mana ujian Covid-19 akan dijalankan.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Yusof berkata, mereka masih menyiasat punca kematian dan bedah siasat hanya akan dijalankan jika mangsa disahkan bukan meninggal dunia akibat Covid-19.

Buat masa ini, katanya, polis membuka siasatan di bawah kategori kematian mengejut.

Sementara itu, Sevan turut menyuarakan rasa khuatir akan kesihatan dan kebajikan tahanan terutama sewaktu penularan wabak Covid-19 kini.

Tambahnya, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil langkah bagi melindungi semua tahanan dengan menyediakan peralatan pembersihatan diri dan persekitaran yang bersih.

[Baca berita asal]