Skip to main
Logo Malaysiakini

Asri gesa penandatangan surat kebenaran kilang arak beri penjelasan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Individu yang menandatangani surat kebenaran kilang arak beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu tampil memberi penjelasan, kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Menyifatkan kelulusan untuk kilang arak itu beroperasi dalam tempoh PKP sebagai tidak wajar, Mohd Asri berkata, ramai pihak ingin mengetahu alasan sebenar surat kebenaran itu diberikan.

"Dilaporkan, pihak kerajaan telah menarik kembali kelulusan dalam tempoh PKP untuk syarikat arak berkenaan. Alasan kerajaan, pihak menteri berkaitan tidak dimaklumkan kelulusan itu.

"Justeru itu, adalah disyorkan individu yang menandatangani surat berkenaan tampil memberikan penjelasan kepada rakyat bagaimana hal itu boleh terjadi.

"Ia amat tidak wajar dan ramai yang ingin mengetahui alasan sebenar," tulis beliau dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pegawai kanan kementerian itu yang dikatakan menandatangani surat itu.

Selain itu, Mohd Asri juga mencadangkan menteri agama (Dr Zulkifli Mohamad) membantu menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam soal arak di negara ini.

"Mungkin juga YB menteri agama dapat membantu menjelaskan pendirian kerajaan dalam hal arak di negara ini," katanya.

Terdahulu, tular satu sepucuk surat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak yang dimaksudkan untuk beroperasi ketika PKP.

Susulan itu, pemimpin Umno dan PAS tampil menyelar tindakan kerajaan membenarkan kilang arak beroperasi ketika PKP dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang juga setiausaha agung BN menyifatkan keputusan itu adalah bercanggah dengan prinsip PN.

Manakala Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad meminta kerajaan menarik balik kebenaran berkenaan.

Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari juga daripada PAS meminta kerajaan supaya bertegas dalam isu berkenaan.

Terbaru dalam ciapan di Twitter, Annuar memaklumkan kerajaan telah menarik balik kebenaran kilang itu beroperasi ketika PKP.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Mohd Asri menggesa polisi yang lebih baik digubal kerajaan bagi memastikan agar tiada muslim boleh terlibat dengan urus niaga arak.

"Semoga satu polisi yang lebih baik digubal agar tiada muslim yang boleh terlibat dengan apa-apa urus niaga arak.

"Termasuklah pekerja di kaunter pasar raya, kedai dan apa saja, muslim dilarang terlibat dalam urusan jual beli arak," katanya.