Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim saran rombak takwim persekolahan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar meminda takwim persekolahan bagi sesi 2020-2021.

Kata presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, saranan itu dibuat berdasarkan tiga senario utama yang masih menjadi kebimbangan dan persoalan meskipun setelah tamatnya perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 14 April nanti.

Kata Faisal, usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 masih belum dapat dipastikan berjaya 100 peratus selepas PKP tamat, sedangkan pelaksanaan penjarakan sosial dalam kalangan murid dan guru di sekolah nanti masih menjadi persoalan apabila sekolah dibuka semula pada 15 April.

Tambahnya, setelah tamat PKP pada 14 April nanti, dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kesesakan di jalan raya, pasar raya, serta pergerakan rentas daerah dan negeri menggunakan pengangkutan awam.

Justeru, Abim meminta KPM merombak semula takwim persekolahan 2020-2021 dengan mengubah suai waktu cuti pada akhir tahun, sekaligus menganjak waktu jadual peperiksaan.

“Saranan ini berasaskan keprihatinan masyarakat yang masih ramai khuatir sekiranya sesi persekolahan dibuka serta-merta selepas tamat tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan.

Faisal turut mencadangkan KPM untuk mengukuhkan program intervensi yang lebih bersistematik melalui platform "Google Classroom" dan membuka pusat internet alternatif seperti di sekolah untuk murid yang tiada kemudahan internet di rumah.

Pada asalnya, cuti persekolahan penggal pertama yang bermula dari 14 Mac hingga 22 atau 23 Mac, dilanjutkan ke 31 Mac selaras dengan pengumuman PKP.

Namun, ekoran pelanjutan tarikh tamat PKP dari 31 Mac ke 14 April, tarikh pembukaan semula sekolah-sekolah di Malaysia turut dilanjutkan ke 15 April.

Ini merangkumi sekolah di negeri-negeri di semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kata Faisal, Abim turut menyarankan kerajaan memikirkan situasi kewangan golongan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP seperti pengusaha bas sekolah, serta pengusaha sekolah, prasekolah swasta dan taska, sehinggalah sesi persekolahan dibuka secara sepenuhnya.

“Dalam menangani situasi ini, perlu diwujudkan keseimbangan yang murni antara memerangi wabak Covid-19 dan situasi kewangan pihak yang terlibat menerusi sistem sokongan yang baik demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya lagi.