Skip to main
Logo Malaysiakini

KM Pulau Pinang kemuka tiga cadangan buat k'jaan pusat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengemukakan tiga cadangan untuk pertimbangan Putrajaya, bagi sembilan hari lagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir 14 April.

Yang pertama, beliau berharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menambah dan memudahkan prosedur ujian saringan Covid-19.

“Jika perlu, kerajaan negeri bersedia untuk membantu usaha KKM dalam inisiatif ini di Pulau Pinang.

“Ini kerana kita perlu menggunakan kesempatan pada tempoh pelaksanaan PKP ini untuk membolehkan semua kes positif Covid-19 timbul ke permukaan dan seterusnya mengambil tindakan yang diperlukan,” katanya dalam siaran langsung hariannya di Facebook.

Chow turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguatkuasakan PKP di sempadan negeri Pulau Pinang, dengan menyifatkan langkah itu dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 secara lebih berkesan.

“Negeri-negeri seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kuasa imigresen negeri telah pun lebih awal melaksanakan pendekatan ini,” katanya.

Selain itu, Chow turut mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menguatkuasakan protokol persekitaran, kesihatan dan keselamatan bagi pihak industri.

Ia bagi memastikan semua perusahaan yang dibenarkan beroperasi mematuhi langkah-langkah keselamatan serta kesihatan dengan tegas tanpa pengecualian.

“Satu garis panduan yang lebih jelas terhadap industri penting dan industri sokongan kepada industri penting ini perlu dikemas kini dan diumumkan sebagai makluman umum.

“Dengan ini, saya berharap kerajaan pusat akan mempertimbangkan cadangan-cadangan saya di atas.

“Saya akan cuba membawa semua cadangan yang dinyatakan secara rasminya kepada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan Covid-19 yang akan datang,” tambahnya.

Kerajaan menguatkuasakan PKP bermula 18 Mac. Ia pada awalnya dijadualkan berakhir 31 Mac, tapi kemudian dilanjutkan hingga 14 April.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memberi bayangan bahawa PKP boleh dilanjutkan lebih lama.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 3,662 kes Covid-19 dengan 61 kematian.