Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Kelantan: 375 ditangkap langgar PKP, lokap masih luas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun jumlah tangkapan mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) semakin meningkat, polis Kelantan menegaskan tidak berdepan masalah kesesakan lokap.

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata setakat ini lokap polis masih luas dan boleh menampung tahanan yang melanggar arahan PKP.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 375 individu yang ditahan kerana melanggar PKP sejak 18 Mac sehingga lewat malam tadi.

"Ini jelas menunjukkan walaupun kita sudah mengambil pendekatan tegas, masih ada segelintir yang mengingkari PKP yang sudah memasuki hari ke-20.

"Ada yang kita tangkap kerana berhimpun dan tidak memberi alasan munasabah. Bila ditanya adakah mereka tahu menjadi kesalahan sekiranya berhimpun, mereka menjawab tahu.

"Namun bila kita bertanya kenapa berhimpun, mereka hanya senyum menyebabkan kita terpaksa menahan," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankusa Kerja, Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kapasiti lokap polis di Kelantan mengalami kesesakan susulan penguatkuasaan yang tegas terhadap pesalah PKP.

Hasanuddin berkata, tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap PKP kini antara 95 hingga 96 peratus dan pihaknya juga ada memberi kelonggaran kepada tahanan dengan dibebaskan selepas jaminan atas faktor tertentu.

"Ada juga kita yang bagi jamin terus. Kita tengok keadaan seseorang, sebelum dimasukkan ke lokap, kita akan memeriksa suhu badan terlebih dahulu.

"Jika kita mendapati suhu mereka agak tinggi, kita akan beri jamin terus," katanya.

Sementara itu tambahnya, tahap pergerakan kenderaan dilihat semakin bertambah selepas kelonggaran diberikan dengan membenarkan pergerakan tidak melebihi 10 kilometer dari rumah.

"Jika melihat keadaan kini, jumlah kenderaan sedikit bertambah berikutan terdapat kelonggaran dengan dibenarkan bergerak sejauh 10 kilometer dari rumah

"Tetapi hanya mereka yang mempunyai keperluan penting sahaja dibenarkan," katanya.