Skip to main
Logo Malaysiakini

PM UK masih di hospital, gejala Covid-19 tak kebah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson masih di hospital pada Isnin berikutan gejala Covid-19 yang dialaminya tidak mahu kebah selepas beliau diuji virus itu sepuluh hari yang lalu.

Jurucakap Downing Street berkata beliau masih lagi menerajui kerajaan.

"PM masih lagi di hospital," kata sumber kerajaan UK.

"Beliau berada semalaman di hospital."

Johnson, sedang dalam kuarantin sendiri di kediaman rasmi perdana menteri UK di Downing Street selepas diuji postif pada bulan lalu.

Beliau dibawa ke hospital pada Ahad malam kerana masih mempunyai suhu badan yang tinggi dan doktornya menyarankan beliau menjalani ujian saringan tambahan.

"Atas nasihat doktor, perdana menteri telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani saringan," kata pejabat PM di Downing Street dalam suatu kenyataan pada Ahad.

"Ini langkah berjaga-jaga, memandangkan perdana menteri berterusan mengalami gejala koronavirus sepuluh hari selepas diuji positif untuk virus itu," kata kenyataan itu lagi.

Johnson, 55 pada 27 Mac lalu menjadi pemimpin pertama kuasa besar dunia yang mengumumkan beliau diuji positif wabak itu. Beliau menjalani kuarantin sendiri di kediaman di Downing Street dan pada Jumaat berkara beliau akan terus dalam kuarantin kerana masih memiliki suhu badan yang tinggi.

Downing Street menafikan ini sebagai kemasukan kecemasan ke hospital dan Johnson masih menerajui kerajaan. Setiausaha Luar Negeri UK Dominic Raab akan mempengerusikan mesyuarat kecemasan Covid-19 pada Isnin, kata sumber.

- Reuters


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.