Majlis pelajar M'sia terkilan keputusan k'jaan Australia
Perdana Menteri Australia Scott Morrison, jika pelajar antarabangsa menghadapi masalah kewangan susulan Covid-19, maka mereka patut pulang ke negara asal.
Majlis Pelajar Malaysia di Australia (Masca) terkilan dengan kerajaan Australia yang mahu pelajar antarabangsa pulang ke negara asal jika menghadapi masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata demikian pada Jumaat lalu.
Pengerusi Masca, Zayana Zaikariah berkata kenyataan itu menunjukkan kerajaan Australia tidak memahami situasi dihadapi ramai penuntut semasa tempoh mencabar ini.
"Terutamanya ketika ibu bapa mereka berdepan kekangan kewangan. Pelajar juga menghadapi masalah seperti penutupan sempadan, syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Malaysia dan harga tiket yang melambung tinggi.
"Walaupun kerajaan Australia telah memberikan beberapa bantuan, ia tidak mencukupi, dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata penuntut Australian National University kepada Bernama.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 30,000 penuntut Malaysia di Australia.
Menurut ABC News, Morrison berkata sudah tiba masanya pemegang visa pelancong dan pelajar antarabangsa kembali ke negara asal jika berdepan masalah kewangan memandangkan pandemik Covid-19 yang berterusan, kerana Australia terpaksa menumpukan kepada rakyatnya sendiri.
ABC News juga melaporkan lebih 500,000 pelajar antarabangsa di Australia hilang pekerjaan.
Sementara itu, Zayana berkata secara kolektifnya sumbangan pelajar antarabangsa kepada ekonomi Australia lebih A$30 bilion, sewajarnya ketika menghadapi krisis ini mereka tidak sepatutnya diketepikan.
Zayana berkata pelajar telah menghubungi Masca mengenai masalah kewangan yang dihadapi dan pihaknya berusaha sedaya upaya membantu dari segi kewangan kepada pelajar termasuk menjadi perantara dengan Education Malaysia Australia (EMA).
Beliau berkata Masca juga merancang mewujudkan tabung bantuan untuk membantu pelajar yang terjejas tetapi ia masih di peringkat awal.
Masca bertindak sebagai majlis perwakilan untuk penuntut Malaysia di Australia.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai