Skip to main
Logo Malaysiakini

10 hari diperlukan untuk saring, sanitasi 2 bangunan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan memerlukan masa sehingga 10 hari untuk membuat ujian saringan terhadap penghuni bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta proses nyah kuman selepas ia diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Itu bermakna, operasi di kedua-dua bangunan terbabit mungkin melangkaui tarikh akhir perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa kedua yang dijadual tamat pada 14 April ini.

"Kami melakukan pengesanan dan pemeriksaan kes aktif. Kami berharap dengan adanya langkah itu (PKPP) kami dapat membersihkan kawasan itu dalam tempohn kira-kira 10 hari.

"Kami juga berharap dapat melakukan proses nyah kuman dan sanitasi. Dalam masa 10 hari, kami akan cuba meningkatkan pengesanan kes aktif di sana," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Selangor Mansion dan Malayan Mansion hari ini diletakkan di bawah PKPD. Dengan pengumuman itu kira-kira 6,000 penghuni bangunan terbabit tidak dibenarkan meninggalkan kompleks itu dan ia dikawal anggota polis dan tentera.

PKPD dikuatkuasakan selepas pihak berkuasa mengesan 15 kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Selain Selangor Mansion dan Malayan Mansion, sebelum ini Menara City One di Dang Wangi sudah diletakkan di bawah kawalan PKPD bermula 31 Mac.

Sebelum itu, dua PKPD dilaksanakan di dua petempatan di Simpang Renggam dan Kluang pada 27 Mac, selain tujuh buah kampung di Hulu Langat pada 30 Mac lalu.

Bagi pengumuman PKP yang lebih awal, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah menguji hampir dua pertiga penduduk di sana.

Setakat ini, beliau berkata, pihak berkuasa membuat saringan ke atas 2,536 daripada 3,755 penduduk di kampung Simpang Renggam dan 174 orang diuji positif, meningkat empat kali ganda berbanding semalam.

Bagi kampung-kampung Hulu Langat, 1,728 daripada 1,797 penduduk telah diuji dan didapati 350 positif, meningkat sebanyak 11 kes semalam.

Bagi Menara City One, daripada kira-kira 5,000 penduduk, 2,109 orang telah diuji dan 30 dikenal pasti sebagai positif, meningkat enam kes berbanding semalam.