Skip to main
Logo Malaysiakini

FGV kemuka rayuan terhadap keputusan panel aduan RSPO

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

FGV Holdings Bhd (FGV) telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Panel Aduan (CP) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) untuk menggantung semula pensijilan kelestarian Kompleks Penapisan Serting dan menggantung semua proses pensijilan mapan bagi kilang lain FGV yang tidak memiliki sijil itu.

Keputusan itu telah dimaklumkan kepada FGV pada 13 Jan, 2020 yang disusuli dengan tindakan FGV menyerahkan rayuannya kepada RSPO pada 3 April lepas, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

FGV berkata ia turut membangkitkan beberapa perkara dalam rayuan itu termasuk langkah dua badan pengesahan bebas lantikan RSPO, Bureau Veritas Certification (BVC) dan TUV Nord (M) Sdn Bhd (TUV) yang telah mengiktiraf usaha serta perkembangan FGV dalam operasinya.

Perkara kedua membabitkan tindakan CP mengenal pasti tujuh ketidakpatuhan termasuk satu yang diklasifikasi sebagai besar dan melibatkan kehadiran pekerja tanpa dokumen di dua estet tidak disahkan di Sabah.

Menurut FGV, perkara itu telah dan secara telus dinyatakan kepada CP dan semua pihak berkepentingan FGV sejak beberapa bulan lamanya.

Ketiga, wujud selang waktu selama tiga bulan antara pengesahan audit yang siap serta surat daripada pihak CP.

“Pada masa itu, keadaan adalah dinamik dan terdapat beberapa usaha yang sedang dijalankan bagi menyemak semula dan menambahbaik dasar-dasar FGV, proses dan garis panduan selain mematuhi Prinsip dan Kriteria RSPO,” kata FGV.

Selain itu, pada masa sama, FGV juga telah melalui proses penambahbaikan kepimpinan dan strategik yang merupakan sebahagian daripada program transformasinya, sekali gus menyaksikan beberapa dasar baharu manakala semakan semula serta prosedur dan garis panduan dilaksanakan di peringkat kumpulan pada tempoh terbabit.

Malah, beberapa proses masih dijalankan dengan pertubuhan bebas pihak ketiga dalam usaha memperkukuh inisiatif-inisiatif FGV.

Sehubungan itu, bagi tempoh antara Oktober 2019 dan Januari 2020, keadaan telah berubah dan kesemua ketidakpatuhan yang dikenalpasti oleh CP telah pun ditangani, kecuali isu-isu berkaitan Sabah.

“Beberapa semakan semula dan menyeluruh selain memperkemas dasar dalaman, piawaian, garis panduan dan proses FGV sedang dijalankan. Banyak perkara baharu atau disemak semula dan oleh itu tempoh 16 bulan lepas sememangnya intensif.

"Inilah sebabnya kami dapat memperbetulkan 34 daripada 41 ketidakpatihan yang dikenal pasti pada November 2018,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Haris Fadzilah Hassan.

Menurutnya, dasar lestari kumpulan yang dikaji semula itu telah digunapakai pada Julai 2019.

“Namun, perlu untuk dinyatakan bahawa usaha melaksanakan dasar dan prosedur baharu kepada pihak ketiga dan pihak luar merupakan usaha kompleks. Ini terutamanya kerana FGV banyak berurusan dengan pekebun kecil yang terhad dari segi sumber dan kapasiti untuk melaksanakan perubahan secara pantas," katanya.

Kumpulan itu bagaimana pun kekal komited untuk memastikan semua pihak berkepentingannya dimaklumkan dengan usaha yang sedang diambil bagi melaksanakan komitmennya ke arah aspek lestari berkenaan.

Menurutnya, semua kenyataan, kemas kini, pelan tindakan dan laporan kemajuan FGV telah menggariskan langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan.

"Semua dokumen ini terdapat di laman sesawang FGV," kata FGV yang menyifatkannya seiring dengan amalan ketelusan dan pendedahan penuh.

-Bernama