Skip to main
Logo Malaysiakini

Badan amal mesti daftar dana Covid-19 untuk pengecualian cukai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua badan amal yang menubuhkan tabung berkaitan bantuan Covid-19 wajib berdaftar dengan Kementerian Kewangan supaya penyumbang boleh mendapat manfaat pengecualian cukai, maklum Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang bertanggungjawab terhadap kluster keselamatan sepanjang tempoh PKP berkata kerajaan berterima kasih terhadap keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19 melalui tabung bantuan tersebut.

"Selain tabung rasmi yang diwujudkan kerajaan iaitu Tabung Covid-19, rakyat Malaysia termasuk syarikat korporat telah membuktikan keprihatinan mereka dengan mewujudkan tabung bagi membantu Kerajaan memerangi wabak Covid-19.

"Sekali lagi kerajaan mengucapkan terima kasih. Namun, kerajaan hari ini memutuskan semua tabung kutipan Covid-19 didaftar dengan Kementerian Kewangan untuk tujuan pengecualian cukai," kata menteri kanan kerajaan PN itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, setakat 7 April 2020, Tabung Covid-19 telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM22.66 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanya RM5.68 juta telah diterima Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu mereka yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Bagi Fasa 2, RM9.06 juta akan disalurkan ke Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) dan YKN untuk meningkatkan kemampuan pengagihan bantuan," jelasnya.