Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis minta bantuan tentera laut untuk kawalan di perairan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan negara ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengelak pencerobohan dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, kerjasama dengan TLDM diperlukan bagi memintas pergerakan kemasukan Pati di kawasan perairan.

"PDRM akan mempertingkatkan kawalan di semua sempadan negara terutama utara semenanjung bersempadankan jiran Thailand, pesisir pantai barat, timur dan Johor selain Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak.

"Pada masa sama kita memperketatkan laluan perairan khususnya di sebelah barat semenanjung dan selatan iaitu Pontian yang sering diceroboh pendatang asing menerusi laut.

"Kita juga akan memohon bantuan kerjasama TLDM melakukan rondaan kerap di laut untuk memantau dan menyekat laluan digunakan pendatang asing menceroboh ke negara ini," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

 Pada 6 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan menambah kekuatan keanggotaan sebanyak 100 peratus bagi penugasan kawalan di sempadan dan perairan negara bagi mengekang kemasukan Pati sepanjang tempoh PKP.

Abdul Hamid memaklumkan 2,500 pegawai dan pegawai berpangkat rendah ditugaskan mengawal kawasan berkenaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan Pati.

"Wabak ini berkemungkinan dibawa masuk Pati yang menggunakan laluan-laluan tikus dan sudah pasti kehadiran mereka tanpa melalui proses saringan dan pemeriksaan amat berisiko tinggi," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain penugasan kawalan sempadan dan perairan negara, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya turut mengadakan beberapa operasi termasuk Op Nyah, Op Wawasan, Op Awas dan Op Batas di Sarawak selain Op Taring di Sabah bagi mengelak pendatang tanpa izin masuk ke negara ini.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, setakat ini 2,197 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dilibatkan dalam tugas di sempadan negara iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Katanya, KDNKA akan bekerjasama dengan Cawangan Khas bagi mengenal pasti warga tempatan yang menjadi dalang kemasukan Pati.

"Malah kerjasama akan dijalin antara KDNKA dan Cawangan Khas sebab kita mahu kenal pasti setiap warganegara kita yang sebenarnya selama ini menjadi dalang membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

"Kita akan mengenal pasti dalang itu dan menjejaki mereka untuk memastikan siasatan penguatkuasaan dan segala aspek undang-undang akan digunakan ke atas mereka termasuk Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA)," tegasnya.