Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri jamin harga ‘hotel kuarantin’ tak lebih RM150

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan sekali lagi menegaskan ia mempunyai perjanjian dengan 120 hotel yang dijadikan pusat kuarantin kepada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara pada kadar RM150 sehari.

Pada sidang akhbar hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan bahawa tidak ada perjanjian sedemikian adalah tidak benar.

Semalam, memetik Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng, portal FMT melaporkan bahawa tidak ada perjanjian sedemikian.

Bagaimanapun, Yap kemudiannya tampil menjelaskan bahawa laporan itu tidak tepat dan persatuannya telah berhubung dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak "hari pertama" dan menyedari sepenuhnya mengenai perjanjian berkenaan.

Perjanjian itu melibatkan hotel dengan penarafan tiga bintang dan ke atas yang juga membekalkan makanan sebanyak tiga kali sehari. Kerajaan juga menjelaskan bahawa pemilihan hotel-hotel berkenaan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Tentang isu kononnya hotel dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tiada kesepakatan dengan kadar yang ditetapkan menyebabkan timbul kegusaran dalam kalangan ahli keluarga mereka yang dikuarantin, kerana bimbang kena bayar, ini merupakan cerita tidak benar.

“Seperti yang telah saya maklumkan, semua hotel berkenaan telah berdaftar sebagai pusat kuarantin dan diwartakan, jadi kami telah capai persetujuan bahawa kadar penginapan berserta makan minum adalah RM150. Jadi tidak timbul soal caj tambahan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga dalam proses mewartakan sebanyak 67 lagi hotel sebagai pusat kuarantin dan hotel yang berminat untuk dipilih sebagai pusat kuarantin boleh menghubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, katanya kerajaan sentiasa berusaha memberikan kemudahan yang terbaik untuk setiap rakyat negara ini yang ditempatkan di pusat kuarantin bagi memastikan kebajikan mereka terjaga semasa menjalani tempoh itu.

Ismail Sabri berkata ini temasuk menempatkan mereka di pusat kuarantin yang selesa selain memastikan makan minum sentiasa terjaga.

“Walaupun mereka dikuarantin, itu bukan pilihan kerana kalau boleh semua ingin tinggal di rumah masing-masing, namun disebabkan ini prosedur, mereka terpaksa menjalaninya, sebab itu kerajaan cuba berikan tempat yang terbaik.

“Saya percaya setiap orang boleh membezakan antara pusat kuarantin negara kita dengan negara luar. Kita sendiri dapat melihatnya di media sosial, di pusat kuarantin sesetengah negara, ada yang terpaksa tidur di lantai, berkumpul dan berhimpit dalam jumlah yang ramai.

“Sukar mendapat makanan dan terpaksa beli di luar, namun kita, ada yang ditempatkan di hotel dan makanan juga disediakan,” katanya.

Ismail berkata Malaysia telah cuba menyediakan peluang terbaik untuk warga negara yang pulang dari luar negara.

"Saya yakin rakyat Malaysia boleh membezakan antara pusat kuarantin dan orang luar negara.

"(Di negara-negara lain) orang tidur di lantai di ruang yang penuh sesak dan menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan.

"Kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia yang perlu dikuarantin, dan kita perlu berterima kasih apabila dibandingkan dengan negara lain," katanya.

Beliau mengulangi bahawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin untuk mencegah kes jangkitan Covid-19 yang diimpot.