Skip to main
Logo Malaysiakini

'Atas sumbangan ramai, bekalan PPE untuk barisan depan mencukupi'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan sumbangan dan usaha masyarakat, Malaysia tidak perlu mengimport peralatan pelindung diri (PPE) buat masa ini.

Ia meskipun permintaan untuk PPE meningkat sehingga tiga kali ganda, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Setakat ini kita tidak berdepan kekurangan PPE kerana ramai telah mendermakannya. Kita juga tidak berharap untuk mengimport sebarang PPE.

"Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada industri seperti industri fesyen yang membantu membuat PPE. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penjara dan kakitangan kami sendiri, "katanya semasa sidang akhbar harian di kementerian di Putrajaya hari ini.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula, pereka fesyen tempatan, banduan dan kakitangan perubatan telah menawarkan untuk menyediakan PPE bagi kementerian.

Kekurangan PPE telah menghalang usaha beberapa negara dalam memerangi wabak ini, terutamanya di United Kingdom.

Noor Hisham menambah bahawa bekalan penutup hidung dan mulut serta alat bantuan pernafasan (ventilator) di negara ini juga mencukupi.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berdepan cabaran untuk membawa barangan berkenaan ke hospital di seluruh negara dengan cepat untuk memenuhi peningkatan permintaan.

"Minggu lepas kita menghadapi halangan dalam menyampaikan dan mengagihkan (barangan) ke negeri-negeri lain tetapi ini telah diselesaikan.

"Tetapi tidak ada masalah dengan jumlah stok yang kami perlukan," katanya.