Skip to main
Logo Malaysiakini

MEF saran kerajaan beri kelonggaran jika PKP disambung

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Kelonggaran beroperasi perlu diberikan kepada syarikat dan perniagaan sekiranya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, mencadangkan kelonggaran sekurangnya-kurangnya diberikan sehingga 25 peratus agar ia dapat mengurangkan bebanan kos yang ditanggung syarikat.

“Paling penting kita harus buka semula perniagaan kerana lebih panjang kita tidak beroperasi, lebih sukar nanti kita nak bermula (bangun dari mengalami kerugian).

“Kalau pun memang perlu untuk kita melanjutkan (PKP) sebagai langkah berjaga-jaga, kita tak perlu untuk tutup syarikat sepenuhnya.

“Mungkin sekarang ni apa yang kita boleh lakukan ialah, kita boleh beroperasi 25 peratus, dengan kebanyakan pekerja berada di rumah.

"Pekerjaan yang boleh buat di rumah tu, pekerja tak perlu datang ke pejabat, mereka boleh terus bekerja dari rumah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Shamsuddin berkata, melalui langkah tersebut ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos syarikat.

“Kalau tak beroperasi langsung, kita terpaksa bayar sewa, terpaksa bayar staf dan sudah tentu dapat menimbulkan implikasi terhadap majikan,” katanya.

Memang sukar nak bertahan

Status sama ada PKP dilanjutkan atau ditamatkan akan diketahui pada 10 April ini. PKP fasa kedua sepatutnya berakhir pada 14 April ini. 

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Perkhidmatan penting negara (atau essential services) itu meliputi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. 

Walaupun terdapat sektor perkhidmatan penting yang diberikan kelulusan untuk meneruskan operasi, Shamsuddin menjelaskan kebanyakan produk mereka tidak dapat disalurkan ke pasaran kerana menghadapi masalah seperti penghantaran dan aktiviti import-eksport di negara lain.

“Tempoh PKP kalau ia dilanjutkan akan beri banyak masalah kepada majikan kerana tak ada operasi langsung dijalankan, melainkan syarikat-syarikat yang telah diberi kelulusan (untuk beroperasi).

“Itu pun mereka tidak boleh beroperasi penuh kerana rantaian bekalan tak cukup. Jadi mereka macam beroperasi agak lembab,” katanya.

Tambah Shamsuddin jika kelonggaran dibenarkan kerajaan, ia diyakini dapat meringankan beban syarikat-syarikat kecil yang sering kali menghadapi masalah aliran tunai apabila krisis berlaku.

“Lebih lama mereka (syarikat-syarikat kecil) tak dapat beroperasi, memang lebih sukar untuk mereka bertahan,” katanya.

Semalam Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata sebarang kelonggaran terhadap PKP akan berdasarkan situasi zon di kawasan terlibat.