Skip to main
Logo Malaysiakini

Bancian Bernama: Netizen mahu PKP dilanjutkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung ketika ini wajar diteruskan kerajaan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.

Bancian yang dijalankan di laman media sosial Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) sejak 7 April menunjukkan 86 peratus daripada lebih 26,300 responden bersetuju PKP perlu dilanjutkan selepas 14 April.

Di laman Twitter Bernama pula, 82 peratus daripada 2,759 responden mahu PKP dilanjutkan kerana bimbang akan berlaku peningkatan mendadak dalam kes Covid-19 sekiranya PKP ditamatkan.

Bancian di Facebook dibanjiri lebih 500 komen yang menyatakan kebimbangan yang sama.

Menurut pengguna Facbeook Sandra Liam, PKP perlu diteruskan kerana ketika ini peningkatan kes positif Covid-19 masih berlaku setiap hari.

"Ya, PKP harus dilanjutkan kerana masih ada pertambahan kes. Terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semua perkara. Sekarang keselamatan nyawa adalah keutamaan. Masyarakat juga harus bekerjasama," katanya.

Dalam pada itu terdapat juga komen yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar sekolah sekiranya PKP tidak diteruskan.

"Bayangkan di sekolah, satu kelas ada 30 orang. Waktu rehat 30 minit untuk 600 orang murid di kantin. Macam mana penjarakan satu meter boleh dibuat? Andai seorang didapati positif Covid-19, tidakkah haru-biru seluruh sekolah nak buat disinfection (nyah cemar).

"Akhirnya kena cuti juga sebab bimbang murid lain dijangkiti juga," tulis Kamariah Othman di ruangan komen.

Pengguna Facebook Tina Ismail turut menyatakan kegelisahan untuk menjalani rutin harian seperti biasa dalam keadaan wabak Covid-9 masih menular.

"Tolong teruskan PKP. Saya tidak berani hendak keluar, apatah lagi menghantar anak-anak ke sekolah,” kata beliau.

Komen para netizen rata-rata menunjukkan kefahaman lebih mendalam tentang kepentingan penjarakan sosial dalam mengelakkan pembentukan kluster baru Covid-19, di samping mendedahkan sokongan kuat terhadap usaha yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

Namun, tidak kurang juga yang bimbang usaha kerajaan akan menjadi sia-sia jika PKP tidak dilanjutkan kerana kemunculan Ramadan dan Hari Raya bakal meningkatkan kebarangkalian orang ramai untuk berhimpun bersama keluarga, menunaikan ibadah atau membeli-belah.

“..Ramadan dan Syawal tak lama lagi. Jika tiada kawalan, gelombang baru yang lebih dasyat bakal tiba. Berkorbanlah sedikit untuk raya tahun ini demi tahun-tahun akan datang,” kata pengguna Facebook Sufi Mohd.

PenggunaTwitter @edwardraj1996 percaya PKP wajar dilanjutkan namun mahu pengecualian dibuat bagi beberapa perniagaan seperti bengkel membaiki kenderaan dan kedai menjual perkakasan.

“(Benarkan) buka kedai keperluan macam kedai baiki kereta, motosikal, kedai hardware, sebab saya kerja masa PKP ni. Susah sangat tak ada transport sebab motor rosak, jadi kena pakai Grab,” katanya.

Pengguna Twitter @tinie_liew dari Sabah pula bimbang pelanjutan PKP akan menyebabkan beliau ketinggalan dalam pelajaran kerana talian internet di kampung yang kurang stabil menjadikannya agak sukar mengikuti kelas dalam talian.

“Saya ingat cuti (PKP) hanya 14 hari jadi saya balik ke kampung. Tidak sangka pula dilanjutkan lagi 14 hari.

“Cukuplah satu bulan merana di rumah. Tidak kesiankah pelajar-pelajar di kampung yang tidak mempunyai line (internet) yang kuat untuk online study. Saya mohon berikan dulu pelajar kesempatan untuk balik (ke kampus) sebelum dilanjutkan PKP,” luah beliau.

Beberapa pihak universiti sebelum ini telah mengarahkan pelajar pulang ke kampung sebelum PKP dilaksanakan, namun menarik semula arahan itu selepas beberapa hari kerana kebimbangan penularan wabak. Walau bagaimanapun, arahan pertama telah menyebabkan ramai pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Pengguna Facebook Muhammad Hammouidi Morshidi berpendapat PKP tidak perlu diteruskan namun prosedur operasi standard (SOP) bagi penjarakan sosial perlu diperkenalkan.

"Larangan perhimpunan atau jumlah dalam satu kawasan seperti kedai runcit dan restoran dihadkan harus diteruskan. Kemudian kawasan kategori zon merah juga perlu dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Abdul Shukor Abd Talib pula beranggapan pelaksanaan PKP fasa ketiga dan seterusnya akan memberi kesan terhadap perniagaan dan menjejaskan sumber pendapatan orang awam.

"Jika PKP diteruskan ramai yang akan hilang kerja selepas tamat PKP. Majikan tak boleh survive jika mereka sendiri tiada pendapatan," katanya.

PKP fasa kedua yang sedang berlangsung daripada 1 hingga 14 April ini adalah lanjutan fasa pertama yang bermula daripada 18 hingga 31 Mac lepas, sebagai langkah mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi amaran bahawa negara mungkin tidak mampu menanggung sekiranya kes Covid-19 melonjak tinggi , katakan meningkat 2,500 kes dalam sehari.

Keputusan pelanjutan PKP akan diumumkan pada 10 April.

- Bernama