Skip to main
Logo Malaysiakini

Yeoh harap penubuhan agensi kanak-kanak tak ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh menyuarakan harapannya agar kementerian itu tidak menangguhkan langkah ke arah penubuhan Agensi Kanak-kanak, yang berperanan khas untuk menjaga golongan itu.

Beliau berkata, keperluan agensi itu dapat dilihat apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini bertumpu terhadap krisis Covid-19 yang melanda negara.

"Pengalaman perintah kawalan peregerakan (PKP) dan Covid-19 ini merupakan bukti terbaik bahawa Agensi Kanak-Kanak ini bukan lagi dianggap sekadar pilihan namun ia harus disegerakan.

"Apabila JKM diberi tanggungjawab ketika krisis negara seperti ini semua tenaga kerja terpaksa dikerahkan dan tidak terkecuali Pelindung Kanak-kanak. Ini bermakna tugas untuk menyelamatkan kanak-kanak dan perkhidmatan berkaitan turut terjejas," katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga anggota parlimen Segambut itu berkata PKP turut memberi kesan dalam soal kanak-kanak seperti penjagaan untuk ibu bapa yang bekerja di barisan depan atau dikuarantin, dan tindakan susulan dalam kes penderaan kanak-kanak.

"Kita telah memasuki minggu ketiga PKP dan sehingga hari ini kita belum mendengar sama ada daripada menteri dan timbalannya mengenai perkara ini (penubuhan Agensi Kanak-kanak) selain mereka hanya mempromosi #WanitaCegahCovid19 sahaja," katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa menteri dan timbalan menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat agar JKM memberi keutamaan terhadap perkhidmatan asas melibatkan kanak-kanak, seperti kes keganasan terhadap golongan itu, dan Pelindung Kanak-kanak dan Pegawai Psikologi dikecualikan daripada tugas tambahan yang lain.

"Kanak-kanak di Malaysia wajib kita lindungi bersungguh-sungguh kerana setiap hari mereka terdedah dengan pelbagai jenis bahaya.

"Saya benar-benar berharap semua perbincangan dan perancangan untuk penubuhan Agensi Kanak-kanak tidak akan ditangguhkan," katanya, sambil memaklumkan ia merupakan antara usaha utama kementerian tersebut ketika pentadbiran PH, antaranya selepas mendapati JKM, serta Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Psikologi dalam jabatan itu, mempunyai beban tugas yang terlalu banyak.