Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 121 pesakit pulih, 109 kes baru, 2 meninggal dunia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 109 kes baru Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,228 kes.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan seramai 121 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 1,608 kes, atau 38 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

"Bilangan kes discharge (pulih dan dibenarkan pulang) hari ini melebihi kes baru yang dilaporkan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Ia merupakan hari kedua berturut-turut bilangan pesakit pulih melebihi bilangan kes baru, selepas semalam dengan 166 pesakit pulih dan 156 kes baru.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan dua lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan wabak itu kepada 67.

Berikut adalah dua pesakit yang meninggal dunia:

Pesakit 2,798 (kematian ke-66)

Lelaki warga Malaysia berusia 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain.

Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling.

Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam lima pagi hari ini.

Pesakit 2,864 (kematian ke-67)

Perempuan warga Malaysia berusia 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 (kes 2,469 dan kes 2,470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak (tetapi bukan peserta acara itu).

Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.42 pagi hari ini.

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan sejumlah 72 pesakit kini dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), sedikit menurun berbanding 76 pesakit semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 43 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berkurang daripada 45 pesakit semalam.

Noor Hisham sekali lagi menggesa orang ramai terus mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP), mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dan penjarakan sosial.

"Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan COvid-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan memaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.