Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: Anak autistik bergelut rutin harian berubah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika Malaysia mengharungi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19, golongan autistik sedang bergelut dengan rutin harian yang berubah secara mendadak.

Rata-rata keluarga yang mempunyai anak-anak autistik ini menghadapi kehidupan yang sangat mencabar berbanding keadaan biasa.

Menurut Pengarah Pusat Genius Kurnia, Prof Madya Dr Hasnah Toran, anak-anak autistik kebiasaannya mempunyai rutin harian mereka yang tersendiri dan gangguan terhadap rutin itu mungkin akan menyebabkan mereka mengamuk atau resah.

“Ibu bapa harus memainkan peranan untuk membuatkan mereka faham situasi keadaan kita sekarang, terutamanya mengapa mereka tak boleh keluar dari rumah.

“Tunjuk mereka video yang mendidik kanak-kanak mengenai wabak Covid-19 seperti Papa Pipi (Kapten Kebenaran) yang mengandungi bahasa mudah dan kartun yang menarik,” jelas Dr Hasnah.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran diberikan kepada golongan autistik dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar tetapi tidak dibenarkan dibuat secara berkumpulan.

Bagaimanapun, Dr Hasnah menjelaskan terapi yang dibenarkan bukanlah terapi biasa dari pusat rawatan atau intervensi.

“Terapi yang dimaksudkan adalah jika anak mengamuk teruk di rumah sehingga stress seisi keluarga di dalam rumah; baling barang hingga pecah, cederakan diri, cederakan orang di sekeliling.

“Maka, bolehlah bawa anak itu keluar seketika sama ada memandu kereta di kawasan sekeliling atau jalan dengan pantas dalam kawasan perumahan,” katanya.

Dr Hasnah turut berkata terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sekiranya ingin membawa anak keluar dari rumah.

“Perlu ada kad OKU, hanya ada seorang dewasa sahaja yang boleh menemani, segera pulang jika amukan sudah reda, kekalkan jarak satu meter daripada orang lain, serta jika ditahan polis dan disuruh pulang, maka arahan itu harus dipatuhi,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook.

Pantau kanak-kanak sebelum mengamuk

Berkongsi pengalaman membesarkan seorang anak autistik yang berumur sembilan tahun, Sabahanim Mohd Noor berkata aktiviti yang pelbagai dapat membantu untuk mengurangkan anaknya mengamuk.

“Untuk tarik minat dia melibatkan diri, saya kena buat aktiviti yang dia minat melibatkan dinosaur dan naga.

“Sebagai ganjaran, kami akan bagi dia main iPad dua jam sehari,” katanya.

Sabahanim ketika dihubungi Malaysiakini, memberitahu dia dan suaminya memantau perlakuan anaknya dan sebelum anaknya menunjukkan tanda-tanda akan mengamuk, mereka dah bertindak.

“Bila kami nampak dia mundar-mandir mata tengok lantai, maknanya dia dah resah. Tetapi dia tak tahu nak luahkan perasaan bosan atau rimas.

“Jadi, kami cepat-cepat buat permainan atau suruh dia buat tugasan seperti ambil air minum dari dapur,” katanya.

Menurut Sabahanim, dia gembira dengan pengumuman kelonggaran diberikan untuk golongan autistik dan OKU untuk keluar secara bersyarat bagi mendapatkan rawatan terapi.