Skip to main
Logo Malaysiakini

Mendepani cabaran anak autistik semasa PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan memang merencatkan banyak kerja semua orang dan kebiasaannya tidak begitu mudah untuk mengubah rutin tersebut.

Jika dalam kalangan orang biasa pun sudah berdepan cabaran, bayangkan kanak-kanak austistik yang begitu sensitif dengan perubahan kelaziman pada hidup mereka.

Itu cabaran yang dialami Azrul Aminuddin untuk memahamkan anaknya, Meor Muhammad Danish, 14, selepas mereka 'tersangkut' tanpa dirancang di Perak.

Menceritakan pengalamannya, Azrul berkata, dia sekeluarga pulang ke kampungnya di Parit, Perak sebelum PKP dilaksanakan kerajaan di seluruh negara.

“Saya dan isteri bertugas sebagai guru sekolah rendah di Melaka. Kami sekeluarga dah balik ke kampung dua hari sebelum tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dijalankan," katanya kepada Malaysiakini.

Akibat PKP keluarga Azrul tidak dapat pulang ke Melaka. Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan rutin anaknya terganggu.

“Dia mula mengamuk, menjerit, menangis - sampai tahap memukul saya hingga lebam-lebam,” katanya.

Polis beri kebenaran pulang

Sepanjang tempoh PKP berlangsung, Azrul cuba mendapatkan kebenaran daripada pihak polis untuk kembali ke rumah mereka. Bagaimanapun usaha itu tidak berjaya.

Kata Azrul dia faham mengapa polis tidak memberikan kebenaran berkenaan. Menurutnya pihak berkuasa perlu memikirkan kepentingan orang awam semasa membuat pertimbangan.

“Tetapi saya tertekan dengan kerenah Danish yang selalu mengamuk selalu.

"Boleh dikatakan setiap hari dia angkat beg kami dan masukkan ke kereta sebab nak balik rumah,” kata Azrul.

Kesan lebam pada tangan Azrul

Kini Azrul sekeluarga sudah boleh menarik nafas lega. Selepas tiga minggu berada di Parit, polis akhirnya memberikan kebenaran buat mereka kembali ke Melaka.

Kata Azrul dia diberikan kebenaran untuk pulang ke Melaka oleh Ketua Polis Perak, Razarudin Husain, melalui Ketua Balai Polis Parit, Sarjan Mejar Zurailan Ahmad.

“Insya-Allah mereka sekeluarga boleh balik ke Melaka.

“Sekarang hanya perlu uruskan sedikit hal formaliti seperti dapatkan salinan dokumen-dokumen wajib yang perlu kita lakukan,” jelas Zurailan kepada Malaysiakini.

Mengamuk tiga kali sehari

Kata Azrul anaknya memerlukan ruang peribadi sendiri untuk berasa selesa dan mengelak daripada mengamuk.

“Anak saya memang akan mengamuk bila kita tak penuhi kehendak dia, cuma besanya, teruk atau tidak sahaja.

“Pernah dia pecahkan cermin kereta saya dua kali,” katanya.

Kesan luka pada tangan Khairunnisa

Sementara itu, seorang kakak kepada remaja autistik, Khairunnisa Usman, turut berkongsi mengenai amukan adiknya yang berusia 13 tahun dalam satu hantaran di laman Facebook.

“Adik saya suka keluar jalan-jalan naik kereta. Selalunya kalau dia nak keluar dia akan ambil kunci kereta dan bagi pada saya untuk ajak keluar.

“Kalau saya tak ikut kehendaknya, dia akan mengamuk dan genggam tangan saya kuat-kuat sampai luka-luka,” katanya.

Khairunnisa turut meluahkan kebiasaannya adiknya akan mengamuk sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kelonggaran diberikan kepada golongan autistik dan orang kurang upaya (OKU) sepanjang PKP berlangsung untuk mendapatkan terapi seperti yang dinasihatkan pakar tetapi bukan secara berkumpulan.