Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemberi pinjaman wang, pajak gadai setuju beri 3 bulan tangguh - Zuraida

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan bagi meringankan beban peminjam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Menurut satu kenyataan hari ini, beliau berkata Persatuan Pemberi Pinjaman Wang pula bersetuju mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Zuraida berkata perkara itu dipersetujui selepas perbincangan dengan ketiga-tiga persatuan susulan pengumuman langkah tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat oleh pada 6 April.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru agar organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang menyediakan kemudahan kredit, memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama enam bulan bermula April 2020 seperti yang dilakukan pihak bank.

“Syarikat Kredit Komuniti juga adalah diingatkan supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam sepanjang tempoh PKP," katanya.

Zuraida mengumumkan perkara itu selepas sidang media harian oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah selesai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkaitan pelaksanaan PKP di Putrajaya.

Beliau berkata kerajaan juga telah bersetuju agar premis syarikat Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai dibenarkan beroperasi selama dua hari seminggu.

Katanya tempoh masa operasi adalah dihadkan kepada 9 pagi hingga 2 petang bagi membolehkan pengusaha PKS melakukan urusan masing-masing.

Zuraida berkata dalam tempoh PKP ini, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai melalui talian hotline KPKT.

Beliau berkata pihak syarikat perlu mematuhi arahan dan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk mengamalkan jarakan sosial sekurang-kurangnya semeter, memakai penutup hidung dan mulut tiga lapis dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan.

Mereka juga harus melakukan proses nyah kuman secara kerap dalam premis masing-masing, katanya.

Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan juga perkhidmatan KPKT yang lain di talian hotline KPKT iaitu 03-8891 3975.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.