Skip to main
Logo Malaysiakini

Perahu karam: Lelaki hantar bantuan ke rumah panjang ditemui lemas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang daripada tiga lelaki yang menghantar bantuan makanan kepada penduduk rumah panjang yang terputus bekalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang Sungai Ensiring, Julau, ditemukan lemas hari ini, selepas perahu mereka karam akibat arus deras dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Ismuni Umar berkata mayat Mazian Seliong, 35, dijumpai di Lubuk Dabai, Sungai Ensiring di Julau, kira-kira 75 kilometer dari Sibu, pada 2.15 petang dalam operasi mencari yang melibatkan penduduk Rumah Mancha, polis dan anggota bomba.

“Kami menerima maklumat pada 4.27 petang, memaklumkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat telah menemui mayat itu di Lubuk Dabai, Sungai Ensiring.

“Anggota keluarga telah membuat pengecaman mayat dan memohon tiada bedah siasat dijalankan ke atas si mati,” katanya dalam satu kenyataan di Sibu, hari ini.

Mazian dan dua lagi rakan dikatakan menyertai rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan, Rolland Duat Jubin untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di lapan rumah panjang di sepanjang sungai itu.

Dua rakannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan pulang ke rumah panjang mereka sebelum memberitahu penduduk kampung mengenai kejadian itu, yang berlaku di lokasi berhampiran Nanga Senyuruk pada kira-kira pukul 5.00 petang.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.