Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian di AS lepasi 16,000 kes, kedua tertinggi selepas Itali

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kematian Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi angka 16, 400 setakat semalam, berdasarkan perkiraan Reuters, walaupun terdapat tanda-tanda wabak itu menghampiri kemuncaknya.

Pegawai AS memberi amaran bahawa kematian akibat Covid-19 dijangka menunjukkan angka membimbangkan minggu ini, meskipun terdapat bukti berlaku pelandaian lekuk bilangan kes di New York, pusat wabak itu di AS.

Bagaimanapun, rakyat AS mesti menahan diri daripada kembali tidak mengendahkan penjarakan sosial, setelah negara menunjukkan perkembangan positif dalam melawan wabak itu, kata pegawai negeri dan pegawai kesihatan semalam.

Kematian di AS merupakan yang kedua tertinggi di dunia, mencatatkan rekod kes harian apabila mencecah 1,900 kematian sehari pada Selasa dan Rabu, berdasarkan perkiraan Reuters.

Pada hari Khamis, AS mencatatkan 1,600 kematian, dengan beberapa lagi negeri belum melaporkan angka terbaru mereka.  

Di AS, kes Covid-19 melepasi angka 459,000 kes pada Khamis, meningkat 27, 000 berbanding hari sebelumnya.

Dari segi bilangan kematian, Itali mencatat angka tertinggi dengan 18,729 kematian direkodkan, meskipun mempunyai populasi lebih rendah dari AS.

Setelah menunjukkan penyusutan ketara daripada kemuncak sebelum ini, jangkitan baru kemudiannya semakin meningkat dalam dua hari kebelakangan ini.

Kerajaan Itali bercadang melanjutkan perintah berkurung sehingga 3 Mei bagi membendung Covid-19, seperti dimaklumkan oleh dua sumber kesatuan perniagaan kepada Reuters semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan para menteri.

Perdana Menteri Sepanyol memberi amaran semalam bahawa perintah berkurung seluruh negara (nationwide confinement) mungkin berterusan sehingga Mei meskipun menurutnya, negara itu bakal keluar daripada fasa terburuknya apabila kadar kematian semakin memerlahan bagi negara yang pernah menyaksikan penyebaran wabak terburuk sebelum ini.

Sepanyol mencatatkan 15,328 kematian, iaitu yang ketiga tertinggi di belakang Itali dan AS setakat ini.

Itali mengenakan perintah berkurung seluruh negara pada 9 Mac untuk memperlahankan penyebaran virus itu dan Sepanyol mengambil langkah sama pada 14 Mac.

New York pada 20 Mac mewajibkan semua penduduknya untuk duduk diam di rumah melainkan untuk urusan perniagaan penting, dan kini 94 peratus rakyat Amerika turut diwajibkan menuruti perintah yang sama.

Bagaimanapun, AS masih enggan menguatkuasan perintah duduk-di-rumah di seluruh negara.

Di seluruh dunia, dianggarkan 1,600,000 kes Covid-19 dicatatkan dengan 95,000 kematian.

-Reuters