Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: Perutusan khas PM jam 4 petang ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dijadual akan menyampaikan perutusan khas pada jam 4 petang hari ini.

Perutusan khas berkenaan adalah berkenaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan berakhir Selasa depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham sebelum ini berkata Kementerian Kesihatan mencadangkan beberapa pilihan kepada perdana menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya untuk membuat keputusan sama ada melanjutkan PKP atau sebaliknya. 

Polis Selangor semalam berkata ada kemungkinan PKP yang bermula pada 18 Mac lalu akan dilanjutkan.

Sementara itu, sidang media Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob akan berlangsung seperti biasa pada jam 2 petang ini.

PKP sepatutnya berakhir pada 30 Mac tetapi dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.

Perintah itu bertujuan membendung penularan wabak Covid-19.

Ismail sebelum ini berkata, kerajaan akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai penguatkuasaan di pelbagai zon.

Beliau membayangkan keadaan di zon merah yang mencatatkan jumlah jangkitan tinggi mungkin jauh berbeza daripada keadaan di zon hijau yang tidak terjejas dengan Covid-19.

Jika PKP tidak dilanjutkan, mungkin akan terdapat beberapa sekatan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Sehingga semalam, seramai 4,228 dijangkiti Covid-19 dengan 67 kematian direkodkan, manakala 1,608 pesakit pulih.