Skip to main
Logo Malaysiakini

Veteran Umno saran KPJ pecat Dr Musa Nordin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Veteran Umno hari ini mendesak supaya Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara dipecat susulan bidasannya yang dianggap memperlekehkan usaha kerajaan memerangi Covid-19.

Menurut Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, sebagai seorang doktor, Dr Musa sewajarnya menyokong usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) yang diterajui oleh Dr Noor Hisham Abdullah.

“(Sebaliknya) dia menyerang ketua pengarah KKM, Dr Noor Hisham secara peribadi dan tidak beretika.

“Veteran Umno dengan ini mendesak pihak pengurusan KPJ supaya memecat Dr Musa dari pusat perubatan itu kerana dia telah mencemarkan kredibiliti KPJ yang terkenal dengan profesionalisme kakitangannya dalam perubatan.

“Dr Musa terbukti seorang doktor yang tidak profesional yang mengutamakan politik dari profesion,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Musa ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas berkaitan isu itu. Portal ini juga sedang berusaha mendapatkan reaksi KPJ.

Menurut Mustapha, tindakan doktor swasta itu jelas membuktikan beliau tidak menghargai penat lelah petugas di barisan hadapan yang menyabung nyawa demi menyelamatkan pesakit yang dijangkiti virus Covid-19.

Rabu lalu, Dr Musa mendakwa pihak berkuasa kesihatan gagal melindungi barisan depan perubatan yang memerangi Covid-19, selepas kira-kira 30 kakitangan perubatan dilaporkan dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Katanya, kakitangan perubatan tidak dilengkapi alat perlindungan sewajarnya, termasuk peralatan perlindungan diri (PPE).

“KP (ketua pengarah)dan pegawai tertingginya di menara gading Putrajaya perlu turun ke hospital Covid/Pusat Kesihatan Daerah/Klinik Kesihatan dan melihat serta merasai kesakitan dan kesengsaraan doktor/jururawat/profesional kesihatan bersekutu yang tiada PPE asas untuk menjaga pesakit kritikal di ICU serta meningkatkan saringan dengan 17,000 ujian sehari,” kata Dr Musa.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, dalam situasi genting seperti ini, Dr Musa tidak patut muncul sebagai seorang yang serba tahu sedangkan kepakarannya dalam bidang yang berlainan dari pakar-pakar dalam bidang penyakit berjangkit.

“Malangnya kerana cemburu yang dipengaruhi oleh dendam politik maka beliau sanggup membelaksngkan profesionnya sebagai seorang pengamal perubatan,” katanya tanpa menjelaskan maksud dendam politik itu.

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff dalam tulisannya di Harakahdaily semalam mendakwa Dr Musa bukan sekadar penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) tetapi adalah sebahagian daripada kerajaan PH apabila beliau dilantik sebagai penasihat oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, pada 27 Mac tahun lalu.

Malah kata pensyarah mesra PAS itu, pada 28 April tahun lalu, Dr Musa telah dikurniakan dengan Anugerah Hero Vaksin (Hero Vaccine Award) bersempena dengan Perayaan Hari Imunisasi Kebangsaan 2019.

Dr Musa ketika dihubungi Malaysiakini berkata bahawa beliau tidak bercadang membuat sebarang ulasan terhadap saranan veteran Umno.

"Tidak nak komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Usaha kami untuk menghubungi pejabat pengurusan KPJ juga tidak berjaya.

Sementara itu, anggota parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menolak kritikan keras terhadap Dr Musa atas alasan “Islam kaya dengan perbezaan pandangan”.

“Soal sama ada kita setuju atau tidak dengan pandangan Dr Musa adalah perkara kedua.

“Jadi sedih bila membaca Dr Musa dilabel 'pemuja DAP' bukan oleh tabloid murahan, tapi lidah rasmi sebuah parti Islam,” ciapnya.